Oleh: Nur Sabrina


Ho Chi Minh City – CSR iaitu Community Social Responsibility atau lebih dikenali sebagai
Khidmat kesukarelawanan merupakan suatu usaha dalam menyumbang ke arah
pembangunan dan kesejahteraan komuniti dalam sesebuah negara. Program CSR
merupakan satu komitmen tanggungjawab sosial sesebuah organisasi terhadap masyarakat
yang diusahakan secara khusus bagi meningkatkan ekonomi dan kualiti hidup semua pihak
terutama pekerja dan keluarga dalam sesebuah organisasi dan komuniti.

Justeru itu, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid sidang 2023/2024 (MMKHAR)
mengambil inisiatif dengan mengadakan program bersama masyarakat setempat iaitu
“Masih Ada Yang Sayang” melalui kerjasama Masjid Jamiul Anwar dan Madrasah Al-Nur, Ho
Chi Minh City, Vietnam. Program yang dilaksanakan pada 9 Ogos 2024 ini bersama pelajar
Madrasah Al-Nur dan peserta program Global Outreach UPSI to Vietnam 2024.
Antara objektif utama pelaksanaan program “Masih Ada Yang Sayang” ini adalah untuk
menyalurkan sumbangan kepada komuniti Ho Chi Minh City dengan mewujudkan Mini
Library bagi kegunaan anak-anak di Madrasah Al-Nur serta sejumlah wang tunai, buku dan
alat tulis. Mini Library ini dilengkapi dengan pelbagai buku dan bahan bacaan yang sesuai
untuk anak-anak berusia 7 hingga 12 tahun. Inisiatif ini bertujuan untuk memupuk minat
membaca dalam kalangan pelajar dan menyediakan sumber yang dapat menyokong
pembelajaran mereka.

Program ini dihadiri oleh Pengerusi Madrasah Al-Nur, Ustaz Haji Hamid, beberapa orang
tenaga pengajar dan para pelajar Madrasah Al-Nur seramai 60 orang. Melalui ucapan Ustaz
Haji Hamid, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada delegasi UPSI ke
Vietnam, pada masa sama menghulurkan sumbangan buku-buku kepada anak-anak
madrasah. “Kami amat mengalu-alukan kedatangan sukarelawan untuk membantu
madrasah ini dan memberi sinar baru kepada anak-anak di sini,” tambahnya lagi.

Selain itu turut dihadiri bersama Pengetua Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Dr Haji Che
Anuar bin Che Abdullah, felo penasihat program, wakil pengurusan KHAR dan juga para
peserta seramai 40 orang delegasi program melalui aktiviti kemuncak dengan pelancaran
Mini Library KHAR. Dalam memperkasakan pendidikan dari UPSI ke Vietnam, sebanyak
200 buah buku telah disumbangkan kepada pelajar Madrasah Al-Nur untuk kegunaan
pembelajaran mereka di sekolah. Sumbangan buku ini adalah satu usaha bersama daripada
Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI dalam memartabatkan pendidikan merentas sempadan.

Melalui pelaksanaan program ini, diharapkan dapat memberi impak yang baik kepada
semua pihak terutamanya komuniti di Madrasah Al-Nur dan juga masyarakat setempat Ho
Chi Minh City. Sebagai penganjur utama program ini, diharapkan semoga para peserta
dapat memupuk sifat keprihatinan dalam diri mahasiswa/i UPSI khususnya yang mampu
memberi manfaat kepada orang lain melalui aktiviti kesukarelawanan CSR.