TANJONG MALIM, 9 Januari 2026 – Pementasan Teater Tradisional Mek Mulung “Afrot”, sebuah karya warisan Kedah yang sarat dengan elemen tipu daya kuasa, pengorbanan dan semangat menuntut keadilan, dipentaskan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai usaha berterusan memelihara warisan budaya tidak ketara negara.

Mengisahkan keinginan seorang raja untuk memiliki pewaris takhta, pementasan ini bermula dengan perkahwinan baginda bersama seorang puteri yang tidak membuahkan zuriat, sebelum baginda bertemu dengan seorang gadis kampung bernama Bongsu.

Konflik memuncak apabila Putera Afrot memulakan perjalanan yang penuh cabaran dan bahaya demi menuntut pembelaan serta mempertahankan maruah ayahandanya.

Melalui jalan cerita yang tegang dan penuh aksi, “Afrot” menyelami makna keberanian dan kesetiaan, sekali gus mengangkat nilai kemanusiaan, perjuangan hak serta keadilan yang kekal relevan merentas zaman.

Pementasan ini merupakan hasil kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB Kedah) dan UPSI, selain memberi ruang kepada penggiat seni teater tempatan untuk terus berkarya dan memartabatkan seni tradisional.

Teater Tradisional Mek Mulung “Afrot” bakal dipentaskan pada 9 dan 10 Januari 2026 bertempat di Dewan Tuanku Canselor (DTC), Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, UPSI memberikan pengalaman pementasan yang menyentuh jiwa kepada penonton.

Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris berkata pementasan tersebut merupakan antara usaha pembangunan dan pelestarian kesenian Mek Mulung yang telah tersenarai sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara yang Memerlukan Perlindungan Segera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 5 Disember 2023.

“Seiring dengan pengiktirafan itu, JKKN bersama AKRAB Kedah mengambil inisiatif menghasilkan skrip baharu Mek Mulung yang diadaptasi daripada cerita-cerita tradisi Mek Mulung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pementasan ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada Program Penyemarakan Karya Teater 2025 anjuran JKKN. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan program tersebut menerusi media sosial JKKN di Facebook MySeniBudaya serta laman web rasmi JKKN.