Oleh: Dallene Jeeta Michael Pillow & Shelina Romanus

TANJONG MALIM,11 Januari 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) dengan kerjasama Kelab Sahabat Ulul Albab (KESUA), Pembimbing Rakan Siswa UPSI (PRS) dan Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) telah menganjurkan Program Munajat Ilmu: Demi Kejayaan Bersama bertempat di Surau An-Nur, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) pada 8 Januari 2026 (Khamis).

Program ini diadakan sebagai inisiatif mengukuhkan penghayatan rohani dan amalan solat berjemaah dalam kalangan warga kampus.

Munajat ilmu dimulakan dengan bacaan Surah Yasin pada jam 6.30 petang, diikuti dengan solat Maghrib dan solat hajat. 

Majlis diserikan dengan ucapan Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani yang mengalu-alukan semua pelajar yang hadir mengimarahkan Surau An-Nur.

Menurut Pengetua UKLK, beliau menekankan bahawa usaha dan doa perlulah seiring dalam menggapai kejayaan dalam pelajaran.

Beliau juga menekankan bahawa amalan-amalan baik seperti berzikir serta berdoa memohon bantuan petunjuk daripada Allah SWT dituntut dalam agama kerana segala kejayaan dalam hidup seseorang ditentukan oleh Allah SWT.

Bacaan surah Yasin diketuai oleh saudara Muhammad Nur Hakim
Jemaah bersiap untuk memulakan solat maghrib dan hajat berjemaah
Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob

Majlis diteruskan dengan solat Isyak diikuti ceramah oleh Ustaz Muhammad Hasbi, pensyarah di Fakulti Sains  Kemanusiaan. Menurut beliau, setiap muslim perlu menjaga setiap pancaindera daripada melakukan sebarang dosa.

Hal ini penting kerana ilmu tidak memasuki hati-hati manusia yang kotor. Tambahnya, beliau menyarankan kepada jemaah yang hadir agar memohon doa daripada orang-orang soleh yang masih hidup, sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa dan memohon ampun daripada mereka jika melakukan sebarang kesilapan.

Menurut Pengarah Program, Muhammad Alif Khuzaifi, penganjuran Program Munajat Ilmu: Demi Kejayaan Bersama ini bertujuan untuk menyediakan ruang kepada pelajar memperkukuh hubungan dengan Allah SWT di samping membentuk budaya solat berjemaah dalam kalangan warga kampus.

Beliau turut menyatakan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform pembangunan rohani yang berterusan serta mampu melahirkan pelajar UPSI yang seimbang dari aspek akademik, sahsiah dan spiritual.

Ustaz Muhammad Hasbi Abdul Rahman

Bagi peserta, Muhammad Syukri, 23 program ini memberi peluang kepada beliau untuk berukhuwah sesama pelajar UPSI yang terdiri daripada pelbagai program pengajian. Beliau berharap program seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

Selain itu, menurut Diyana, 24 program ini menjadi medan untuk mengukuhkan hubungan kerohanian seiring fokusnya terhadap tugasan-tugasan akademik.

Dalam program ini banyak input-input bermanfaat yang disampaikan oleh penceramah seterusnya boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.

Secara keseluruhan, program ini menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pelajar dan menjadi harapan semoga semua pelajar beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Program munajat ilmu adalah usaha berterusan UKLK dalam menyemarakkan solat berjemaah dan solat hajat sebagai elemen penting dalam membentuk kesejahteraan holistik pelajar UPSI.