Oleh : Muhammad Haziq Syarifuddin Suhazli
TANJONG MALIM, 10 JANUARI 2025 – Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) telah berjaya menganjurkan Kejohanan Tenpin Bowling Bersepadu 2026 Piala Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bertempat di UPSI Sport Bowl, KSAS, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Kejohanan anjuran Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) ini melibatkan seramai 91 orang peserta terdiri daripada pelajar dan staf UPSI yang mewakili pelbagai kolej kediaman, dengan tujuan menggalakkan persaingan sihat, memperkukuh perpaduan warga kolej serta mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti universiti.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Norkhalid Salimin, aktiviti sukan bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi medium berkesan dalam memupuk disiplin, semangat kesukanan serta hubungan harmoni antara pelajar dan staf universiti.



Beliau turut menegaskan bahawa penyertaan aktif warga kolej kediaman mencerminkan komitmen bersama dalam menyokong pembangunan holistik mahasiswa.
“Penyertaan memberangsangkan daripada pelbagai kolej kediaman membuktikan bahawa mahasiswa UPSI sentiasa bersedia untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti yang membina sahsiah dan memperkukuh perpaduan,” katanya lagi.
Dalam kategori utama, iaitu Kategori Pengetua Kolej Kediaman, Yusop Ahmad yang mewakili Kolej Za’ba (KZ) muncul sebagai johan dengan jatuhan pin keseluruhan sebanyak 371.
Bagi kategori berpasukan Felo dan Staf pula didominasi oleh UKLK iaitu sebanyak 1674 jatuhan pin. Bagi kategori berpasukan pula, persaingan sengit menyaksikan pasukan dari KZ mendominasi Kategori Lelaki Berpasukan dengan jumlah mata keseluruhan 2044.
Manakala bagi Kategori Perempuan Berpasukan, kemenangan juga berpihak kepada pasukan KZ yang mempamerkan prestasi cemerlang dengan jatuhan pin sebanyak 1723.
Selain itu, Anugerah Pemain Terbaik turut diberikan kepada peserta yang mencatat jatuhan pin tertinggi bagi setiap kategori. Bagi Kategori Staf dan Felo, Anugerah Pemain Terbaik dimenangi oleh Muhamad Hafiz Abd Manap dari Kolej Ungku Omar (KUO) dengan jumlah 512 jatuhan pin.
Bagi Kategori Pelajar Lelaki, Muhammad Aiman Azni yang mewakili KZ dinobatkan sebagai Pemain Terbaik selepas merekodkan 576 jatuhan pin.
Manakala Kategori Pelajar Perempuan menyaksikan Nur Auni Naseeha Badrul dari Kolej Awang Had Salleh (KAHS) muncul sebagai Pemain Terbaik dengan pencapaian tertinggi keseluruhan iaitu 603 jatuhan pin.
Secara keseluruhan, Kolej Za’ba dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Kejohanan Tenpin Bowling Bersepadu 2026: Piala Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni selepas mencatat 5212 jatuhan pin keseluruhan.
Tempat naib juara menjadi milik Kolej Aminuddin Baki (KAB) dengan 4823 jatuhan pin, manakala Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) menduduki tempat ketiga dengan 4805 jatuhan pin.
Kejohanan ini merupakan program bersepadu tahunan anjuran Exco Sukan dan Rekreasi MMKLK dengan kerjasama kolej-kolej kediaman UPSI. Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah dirasmikan oleh TNC (HEPA) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin, sekaligus menyempurnakan penganjuran kejohanan tersebut.
Program yang bermula pada jam 10.00 pagi dan berakhir pada jam 3.00 petang itu berlangsung dengan lancar dan jayanya. Kejayaan penganjuran ini membuktikan komitmen UKLK dalam memperkasakan aktiviti sukan serta menyemarakkan integrasi antara pelajar dan staf di UPSI.

