Oleh: Irdina Wafa Zulkifli
TANJUNG MALIM, 23 Jun 2026 – Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) terus melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih tujuh pengiktirafan dalam Anugerah Kolej Kediaman (AKK) 2026, sekali gus membuktikan komitmen berterusan warga UKLK dalam memperkasakan kebajikan, kepimpinan dan pembangunan mahasiswa.
Pencapaian tersebut merangkumi dua Anugerah Khas Pengetua, iaitu Anugerah Khas Pengetua bagi kategori Felo yang diterima oleh En. Mohd Raizol bin Ramli yang juga merupakan felo penasihat bagi Exco Kesukarelawanan Komuniti serta Anugerah Khas Pengetua bagi kategori Staf yang disandang oleh Pn. Nur Hidayu binti Abdullah. Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi dan komitmen tinggi kedua-dua penerima dalam menyumbang kepada kecemerlangan UKLK.
Selain itu, En. Mohd Raizol turut menerima Anugerah Emas bagi kategori Ikon Nadi Kebajikan Pelajar atas usaha beliau dalam memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa. Dalam kategori keusahawanan pula, Saudari Conielia Anak Charlie berjaya membawa pulang Anugerah Emas bagi kategori Ikon Usahawan Siswa hasil kecemerlangan beliau selaku Exco Keusahawanan dalam menjayakan program yang berteraskan bidang keusahawanan mahasiswa.
Sementara itu, Saudara Umar Hafizi bin Masriakib selaku Exco Kesukarelawanan Komuniti menerima Anugerah Perak bagi kategori Ikon Khidmat Komuniti Siswa sebagai pengiktirafan terhadap penglibatan aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dan khidmat komuniti. Bagi kategori Ikon Suara Intelek, saudara Amiratul Balqis binti All Ashari yang juga merupakan Exco Wacana Intelek telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Gangsa, manakala Yang Di-Pertua Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus sidang 2025/2026, Saudari Irdina Wafa binti Zulkifli pula telah menerima Anugerah Gangsa bagi kategori Ikon Kolej Kediaman, sekali gus melengkapkan pencapaian UKLK pada AKK 2026.
Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat antara pihak pengurusan, felo, staf dan para pelajar yang sentiasa berusaha mengangkat nama UKLK di peringkat universiti. Walaupun persaingan pada tahun ini semakin sengit, pencapaian yang diraih membuktikan bahawa UKLK kekal komited dalam melahirkan warga kolej yang cemerlang, berdaya saing dan seimbang dari segi akademik, kepimpinan serta sahsiah.
Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani bin Che Kob, Pengetua UKLK mengucapkan rasa bangga atas kejayaan yang diperoleh ini.


“Saya amat berbangga dengan pencapaian warga UKLK dalam AKK 2026. Tujuh pengiktirafan yang diraih ini membuktikan bahawa usaha, komitmen dan semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh para pelajar, felo dan staf sentiasa berada pada landasan yang tepat. Kejayaan ini bukan sekadar tentang jumlah anugerah, tetapi tentang bagaimana warga UKLK terus berkembang sebagai komuniti yang aktif, prihatin dan berdaya saing. Saya berharap pencapaian ini akan menjadi motivasi untuk kita terus melakar kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.” Ujar beliau.
Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada seluruh warga UKLK untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi pada masa hadapan serta mengharumkan nama UKLK dalam pelbagai bidang.

