oleh : Muhammad Majdan bin Ismail dan Noorheli binti Ayob

Tanjong Malim, 21 Januari 2026 – Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Majlis Mahasiswa Kolej Kolej Aminuddin Baki (KAB) dengan sokongan dan bantuan daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPSI telah melaksanakan Program Dapur Kasih Bitara Al-Mursyidin (Siri 1) bertempat di Dapur Masjid Al-Mursyidin.


Penganjuran program ini bertujuan untuk menyediakan dan mengagihkan makanan secara percuma di samping memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.


Sepanjang program berlangsung, para peserta terlibat secara aktif dalam aktiviti gotong-royong memasak, bermula daripada penyediaan bahan mentah, proses memasak sehinggalah pengemasan dapur. Kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak mencerminkan nilai kebersamaan dan keprihatinan sosial yang tinggi, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa, pihak penganjur serta semua kakitangan yang terlibat.


Menurut pihak Pusat Islam UPSI, program ini bukan sekadar penyediaan makanan, malah menjadi medium pembinaan sahsiah dan tarbiah kepada para sukarelawan agar sentiasa menghayati nilai ihsan, empati dan tanggungjawab sosial sebagaimana dituntut dalam Islam.


Sepanjang tahun 2026, program ini dirancang untuk dilaksanakan secara berkala dengan pengagihan makanan yang tersusun dan berfokus, selaras dengan aspirasi UPSI dalam melahirkan mahasiswa holistik yang seimbang dari aspek akademik, sahsiah dan spiritual.


Pusat Islam UPSI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Diharapkan inisiatif ini terus menjadi pemangkin kepada budaya kasih sayang dan kebersamaan dalam komuniti universiti.