Oleh: Dr. Anizah Mohd Salleh
Tanjong Malim, Januari 2026 – Pelaksanaan projek pertanian organik melalui aktiviti pengomposan sisa dapur dan laman di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan teras pembelajaran dalam kursus VAO3013 Pengurusan Projek Pertanian.
Projek ini berfungsi sebagai platform praktikal bagi pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan dalam perancangan, pelaksanaan, pemantauan, dan penilaian projek secara holistik.
Lebih daripada sekadar memenuhi keperluan kursus, inisiatif ini merupakan kesinambungan usaha berterusan merentasi semester.
Pelajar Semester A242 memulakannya dengan fasa perancangan dan persediaan, termasuk mereka bentuk sistem, menyediakan kawasan, dan memperoleh peralatan asas untuk pengomposan. Input utama adalah sisa dapur (sayur-sayuran) dan sisa laman (ladang).




Kini, pelajar Semester A251 pula memfokuskan pada pengurusan operasi dan peralihan ke arah keusahawanan.
Fasa ini melibatkan aktiviti pemantauan proses penguraian, pengawalan kualiti kompos, penuaian, pembungkusan, dan strategi pemasaran untuk menjual produk kompos kepada komuniti sekitar Tanjung Malim.
Menjelang Minggu 14 pengajian, kompos yang telah dituai dan diproses akhirnya siap dibungkus untuk dipasarkan, menandakan fasa terakhir kitaran projek ini.
Peralihan dari pengurusan projek kepada pengurusan perniagaan tani secara langsung memenuhi hasrat kursus untuk memberi pendedahan kerjaya yang pelbagai.
Menerusi pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) yang menekankan penyelesaian masalah autentik, autonomi pelajar, dan penghasilan produk yang bernilai.
Pelajar menjadi penggerak utama setiap fasa, manakala pensyarah berperanan dalam membimbing, memberi sokongan, dan memotivasi pelajar sepanjang projek.



Projek pengomposan organik ini turut selari secara langsung dengan Matlamat Pembangunan Mampan 12: Penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab.
Projek ini merupakan model ekonomi kitaran dengan mengubah sisa organik menjadi sumber iaitu kompos sebagai usaha mengurangkan tekanan terhadap pembuangan sampah.
Lebih penting lagi, produk kompos ini sesuai dijadikan baja organik dan mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia.
Selain itu, projek ini disokong oleh dimensi penyelidikan yang dibiayai oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris di bawah Skim Geran Penyelidikan Strategik (Translasional – Fruit Valley) dengan Kod Penyelidikan: 2024-0018-106-01, sekaligus mengukuhkan lagi impaknya sebagai satu model pendidikan yang menyumbang kepada kelestarian alam dan pembangunan komuniti.

