Oleh: Amir Farhan Md Radzi

Tanjong Malim, 22 Januari 2026 – Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (MMKAHS) Sidang 2025/2026, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana, dikenali sebagai SINAR ILMU: Cahaya Doa, Pelita Kehidupan, bersempena persediaan rohani menjelang peperiksaan akhir semester yang berlangsung dari 26 Januari hingga 15 Februari 2026.

Program anjuran Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MMKAHS ini melibatkan penyertaan pelajar dari semester satu hingga semester tujuh, dengan matlamat memperkukuh penghayatan kerohanian mahasiswa.

Melalui pengisian bacaan Yasin dan Solat Hajat, program ini bertujuan memohon keberkatan dan restu ilmu, memupuk sikap tawakal kepada Allah SWT, serta mengeratkan ukhuwah antara pihak pentadbiran kolej, Majlis Mahasiswa Kolej dan para penghuni.

Program yang berlangsung dari jam 7.00 malam hingga 9.00 malam ini telah diadakan di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI sebagai usaha berterusan mendekatkan mahasiswa dengan pengisian kerohanian, khususnya menjelang musim peperiksaan.

Melalui bacaan Yasin, solat hajat dan doa bersama, para peserta berpeluang memohon ketenangan jiwa, kemudahan urusan serta kejayaan dalam akademik.

Selain menyuburkan aspek rohani, program ini turut memperkukuh silaturahim antara pelajar pelbagai semester serta menyemai nilai murni seperti kesabaran, keikhlasan dan kesyukuran.

Diharapkan pengisian ini dapat menjadi sumber ketenangan dan suntikan semangat agar mahasiswa menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin, fokus dan positif.

Program ini telah menghimpunkan seramai 540 orang peserta dan diserikan dengan kehadiran Pengetua Kolej Awang Had Salleh, Dr. Mardiana binti Ismail serta barisan Felo Kolej.

Atur cara dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Yasin yang dipimpin oleh Saudara Rifqi, sebelum diteruskan dengan solat Isyak dan solat Hajat secara berjemaah.

Sebagai simbol penghormatan dan doa keberkatan ilmu, para penghuni kolej berkesempatan bersalam-salaman dengan Pengetua dan Felo bagi memohon kemaafan serta restu.

Program diakhiri dengan jamuan bersama, di mana Pengetua Kolej Awang Had Salleh turut bersama-sama mengagihkan makanan dan minuman kepada para pelajar.

Penganjuran Program SINAR ILMU: Cahaya Doa, Pelita Kehidupan ini diharapkan dapat meraih keberkatan, di samping memberi motivasi, ketenangan dan dorongan semangat kepada seluruh mahasiswa, khususnya warga penghuni Kolej Awang Had Salleh, dalam membuat persediaan menghadapi peperiksaan.

Secara tidak langsung, program ini bukan sahaja menjadi wadah memperoleh restu ilmu, malah berfungsi sebagai medium mendekatkan diri mahasiswa kepada Allah SWT.