Oleh Husna Mohd Noor
TANJONG MALIM, 27 Januari 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh usaha pengantarabangsaan dengan menganjurkan program kerjasama bersama ejen pendidikan dari China yang melibatkan penyertaan seramai 80 orang ejen.
Program yang dianjurkan oleh Pusat Antarabangsa, Mobiliti dan Pengembangan Pendidikan (IMAC) ini berlangsung di Scholar’s Suites bertujuan mengukuhkan hubungan strategik serta membuka peluang kerjasama jangka panjang dalam pengambilan pelajar antarabangsa, khususnya dari China.
Majlis pembukaan program telah diadakan di Dewan Muallim dan disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus, menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa). Program ini turut menyaksikan majlis menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent, LOI) antara UPSI dan tujuh (7) agensi pendidikan dari China, yang disaksikan oleh Naib Canselor UPSI, sekali gus memperkukuh komitmen kerjasama strategik antara kedua-dua pihak. Naib Canselor UPSI juga telah menyampaikan ucapan bagi menzahirkan sokongan penuh pihak pengurusan universiti terhadap usaha pengantarabangsaan UPSI.


Selain itu, seramai 64 agensi pendidikan telah dilantik secara rasmi sebagai Introducer UPSI, yang berperanan membantu mempromosikan program akademik universiti serta menyokong usaha peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa. Selepas tamat program, Naib Canselor berkesempatan menyertai sesi makan tengah hari bersama para ejen dari China di Scholar’s Suites Café sebagai tanda sokongan dan penghargaan.
Para ejen turut dibawa menyertai sesi lawatan kampus bagi melihat fasiliti pembelajaran, penginapan, perpustakaan, dan kemudahan sukan UPSI, sekaligus memberi gambaran menyeluruh tentang persekitaran pembelajaran dan pengalaman pelajar di kampus. Bagi sesi petang, ejen turut didedahkan dengan sesi penerangan komprehensif mengenai UPSI, taklimat berkaitan program mobiliti pelajar, proses kemasukan pelajar antarabangsa, sesi pitching oleh wakil fakulti yang membentangkan program akademik yang ditawarkan di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah, sebagai platform promosi secara terus.


Sebagai penutup, Majlis Makan Malam telah diadakan dengan kehadiran Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU), dekan-dekan fakulti serta pengurusan IMAC. Majlis penutup ini dimulai dengan ucapan oleh En. Gu Guoxing, Pengarah UPSI China Student Service and Learning Center, Xi’an Chinadan diikuti ucapan penutup oleh Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus, menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa). Majlis turut turut diserikan dengan sesi cabutan bertuah, perkongsian pengalaman pelajar China serta persembahan muzik oleh pelajar Fakulti Musik dan Seni Persembahan, yang mencerminkan bakat dan keunikan komuniti kampus serta mengeratkan lagi hubungan dengan rakan antarabangsa.
Secara keseluruhan, penganjuran program ini mencerminkan komitmen UPSI dalam memperluaskan jaringan global serta memperkukuh reputasi universiti di peringkat antarabangsa. Inisiatif seumpama ini dilihat mampu menyumbang secara signifikan kepada peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa dan kelestarian kerjasama strategik universiti.

