Oleh: Husna Mohd Noor
Tanjong Malim, 15 Februari 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui International, Mobility and Advanced Education Centre (IMAC) dengan kerjasama The Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL) telah menganjurkan 12th Batch NIHONGO Partners Immersion Programme 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Februari 2026 bertempat di Scholar’s Suites UPSI.
Program ini menghimpunkan seramai 20 orang peserta Nihongo Partners (NPs) daripada Jepun sebagai platform latihan dan pendedahan intensif terhadap budaya, kehidupan sosial serta persekitaran pendidikan di Malaysia. Program ini diadakan bertujuan memberikan pencerahan mengenai bahasa Melayu, budaya dan gaya hidup masyarakat tempatan kepada NPs yang bakal berkhidmat sebagai pembantu guru di sekolah menengah terpilih di Malaysia.



Hari pertama program dimulakan dengan sesi taklimat dan aktiviti suai kenal sebelum diteruskan dengan Classroom Simulation yang memberi peluang kepada NPs memahami suasana pengajaran dan pembelajaran dalam konteks tempatan. Peserta turut didedahkan kepada permainan klasik Malaysia seperti Batu Seremban, Congkak, Xiangqi (Chinese Chess) dan Teng Teng sekali gus memperkukuh kefahaman silang budaya. Sebelah malam, majlis makan malam alu-aluan diadakan di Easy Café, Tanjong Malim bagi meraikan kehadiran peserta.



Pada hari kedua, peserta mengikuti sesi pemasangan aplikasi penting bersama Buddies UPSI serta menjalani aktiviti simulasi kehidupan sebenar menerusi Real-Life Survival through Simulation. Antara aktiviti menarik ialah pengalaman membeli-belah barangan keperluan di TMG Mart serta pendedahan kepada suasana pasar malam Tanjong Malim melalui aktiviti My 1st Experience at the Night Market. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta merasai sendiri pengalaman budaya masyarakat tempatan secara autentik.


Hari terakhir program diisi dengan sesi latihan persembahan sebelum berlangsungnya Majlis Penutup yang menampilkan persembahan NPs, sesi penyampaian sijil, pertukaran cenderamata serta sesi fotografi kenangan. Majlis penutup telah disempurnakan dengan ucapan penutup daripada Prof. Dr. Che Zalina Zulkifli, Timbalan Pengarah (Strategik dan Pengantarabangsaan Akademik), IMAC dan Tuan Tsukamoto Norihisa, Pengarah JFKL.
