OLEH: Dr. Vestly Kong Liang Soon & Dr. Hjh. Noraini Binti Abdullah

Tanjong Malim, 24 Januari 2026 – Komitmen terhadap inovasi berasaskan keperluan sebenar komuniti telah memacu pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar kejayaan membanggakan di International Creative & Innovation Idea Competition (ICIIC) 2026. Dalam saingan tersebut, pelajar UPSI berjaya membawa pulang keseluruhan 13 pingat yang terdiri daripada enam emas, lima perak, dan dua gangsa.

Kejayaan ini digerakkan oleh pelajar yang kursus KBD3083 Audiologi dan Alat Bantu Dengar, sebuah kursus yang menggabungkan ilmu audiologi klinikal dengan pembangunan teknologi bantuan pendengaran.

Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan projek (project-based learning), pelajar didedahkan kepada cabaran harian individu ketidakupayaan pendengaran. Mereka bukan sekadar mempelajari teori fungsi telinga dan alat bantu dengar tetapi turut menemu bual pengguna sebenar bagi membangunkan penyelesaian teknologi yang praktikal, inklusif dan mesra pengguna.

Enam pingat emas dirangkul menerusi inovasi berimpak tinggi iaitu Into The New World: Hearo, Signa View, VibraLytix, Edu Hearing, The Silent Hero dan TECHNOEAR. Keenam-enam inovasi ini berkongsi matlamat yang sama iaitu memperkasa keupayaan pengguna memahami dan bertindak balas terhadap bunyi persekitaran dengan lebih berkesan. Into The New World: Hearo membantu pengguna menentukan arah sumber bunyi, sekali gus meningkatkan orientasi dan mobiliti dalam ruang awam. Signa View pula menukarkan bunyi pertuturan kepada paparan visual masa nyata bagi memudahkan interaksi komunikasi. VibraLytix menggunakan corak getaran berbeza untuk mewakili jenis bunyi tertentu, memberi alternatif sensori kepada pengguna. Dalam konteks pendidikan, Edu Hearing menyokong pembelajaran di bilik darjah melalui gabungan teks, ikon dan isyarat visual supaya pelajar ketidakupayaan pendengaran tidak tercicir. The Silent Hero berfungsi sebagai sistem amaran senyap untuk kegunaan di rumah dan tempat kerja, manakala TECHNOEAR menapis hingar latar menggunakan pemprosesan pintar agar suara manusia lebih jelas didengar.

Bagi kategori pingat perak, lima inovasi pelajar UPSI yang turut mendapat pengiktirafan antarabangsa ialah SMART HEAR+, ECHOFIT, HearTech Pro, vibe pro dan Ffanear. Inovasi ini memfokuskan kepada pengesanan bunyi kritikal seperti hon kenderaan dan siren kecemasan, selain menambah baik aspek keselesaan pemakaian serta integrasi peranti mudah alih. Manakala, dua pingat gangsa dimenangi menerusi HearSafe dan NovaHear yang memberikan penekanan khusus kepada aspek keselamatan dan amaran awal terhadap situasi berbahaya di persekitaran seharian.

Kejayaan ini merupakan hasil bimbingan pensyarah kursus, Dr. Vestly Kong Liang Soon yang mengintegrasikan teori audiologi dengan teknologi seperti penderia pintar dan kecerdasan buatan (AI). “Pelajar kami belajar terus daripada realiti kehidupan pengguna. Mereka mengenal pasti masalah sebenar, kemudian membangunkan prototaip alat bantu dengar yang benar-benar boleh digunakan,” jelas beliau.

Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai peneraju inovasi teknologi bantuan pendengaran dan pendidikan inklusif. Inovasi yang dihasilkan bukan sahaja berpotensi untuk dikomersialkan, malah menjadi bukti bahawa gabungan ilmu, empati, dan kreativiti mampu melahirkan penyelesaian berimpak global.

By shira