Gambar utama Program Kasih Seikhlas Hati (IFTAR) / Cover PageGambar utama Program Kasih Seikhlas Hati (IFTAR) / Cover Page

Oleh: Nur Fareena Dzulkifli

TANJONG MALIM, 20 Februari 2026 – Bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Majlis Mahasiswa Kolej Antarabangsa (MMKA) telah menganjurkan Program Kasih Seikhlas Hati sebagai salah satu inisiatif khidmat masyarakat yang menyantuni anak-anak yatim daripada Maahad Tahfiz Baitul Al Hilmi, Slim River, Perak.

Program ini melibatkan seramai 40 orang anak yatim dan diadakan dalam suasana yang harmoni serta penuh penghayatan nilai kemanusiaan.

Kehadiran anak-anak tahfiz, guru-guru tahfiz dan pengetua mereka, Ustaz Mohamad Adnan bin Awang Ngah, disambut dengan penuh hormat oleh barisan kepimpinan kolej serta para pelajar.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen MMKA dalam memperkukuh hubungan antara warga universiti dan komuniti setempat melalui aktiviti berbentuk kebajikan.

Ucapan aluan oleh Pengarah Program kepada para tetamu.
Majlis perasmian oleh Pengetua Kolej Antarabangsa, Encik Zamrus bin Hashim.
Simbolik penyampaian sumbangan Duit Raya kepada anak-anak yatim Al Hilmi.

Program Kasih Seikhlas Hati membuka peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi secara langsung dengan golongan anak yatim melalui penyediaan juadah, majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan.

Penglibatan ini memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan tanggungjawab sosial, selain memupuk nilai empati dan kesyukuran dalam diri.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengetua Kolej Antarabangsa, Encik Zamrus bin Hashim. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan atas kesudian anak-anak yatim berkunjung ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan menegaskan bahawa program seperti ini berperanan penting dalam membentuk mahasiswa yang prihatin serta berakhlak mulia.

Sebagai tanda sokongan dan keprihatinan, sumbangan dalam bentuk duit raya telah disampaikan kepada semua anak yatim yang hadir. Penyampaian tersebut menjadi simbol penghargaan dan usaha berkongsi rezeki sempena Ramadan.

Program turut diisi dengan bacaan tahlil dan solat Maghrib berjemaah yang dipimpin oleh pelajar antarabangsa dari Indonesia, M. Dzinnun Al-Misri, manakala solat Maghrib diimamkan oleh M. Syahroul Fajri. Pengisian kerohanian ini menambahkan lagi nilai keberkatan serta mempererat ukhuwah antara semua yang terlibat.

Majlis bacaan tahlil dan solat Maghrib berjemaah yang dipimpin oleh pelajar KEMENAG, Indonesia.
Majlis bacaan tahlil dan solat Maghrib berjemaah yang dipimpin oleh pelajar KEMENAG, Indonesia.
Sesi berbuka puasa bersama dalam suasana penuh kebersamaan.

Majlis kemudiannya diakhiri dengan majlis berbuka puasa bersama dalam suasana yang tertib dan penuh kesederhanaan. Detik tersebut menjadi simbol kebersamaan yang terjalin antara mahasiswa dan anak-anak yatim, sekali gus memperlihatkan nilai kasih sayang serta semangat perpaduan yang menjadi teras penganjuran program ini.

Secara keseluruhannya, Program Kasih Seikhlas Hati (IFTAR) telah mencapai objektifnya dalam memperkukuh jalinan antara mahasiswa dan komuniti, khususnya golongan anak yatim. Penganjuran program seumpama ini wajar diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan untuk menyemai nilai empati, keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universiti.