Oleh: Dr. Alizah Lambri

TANJONG MALIM – Seramai 160 orang murid Tingkatan Lima daripada lapan buah sekolah menengah di daerah Mualim telah menyertai Program Pemindahan Ilmu Perkampungan Bahasa Generasi Madani yang berlangsung dengan jayanya baru-baru ini.

Program anjuran pensyarah dan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini dilihat sebagai satu inisiatif berimpak tinggi dalam usaha memperkasa penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program pemindahan ilmu yang dikendalikan oleh Ketua Projek, Dr. Alizah Lambri bersama 40 orang fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu UPSI ini bertujuan untuk membantu meningkatkan peratus lulus dan kepujian murid dalam Bahasa Melayu dalam peperiksaan SPM.

Selain itu, program ini turut memberi fokus kepada peningkatan kemahiran bertutur dalam Bahasa Melayu serta memupuk keseronokan belajar bahasa kebangsaan di luar bilik darjah.

Program ini merupakan anjuran bersama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist yang merupakan komuniti paling hampir dengan UPSI.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti bahasa yang interaktif berkonsepkan pembelajaran abad ke-21. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk “Cakna Minda”, “Stesen ke Stesen” dan “DJ Hari Ini”.

Aktiviti-aktiviti ini dirangka bagi merangsang pemikiran kritis, meningkatkan keyakinan berkomunikasi serta membiasakan murid menggunakan Bahasa Melayu dengan betul dalam situasi formal dan tidak formal.

Melalui pendekatan santai tetapi berfokus, murid-murid diberi pendedahan tentang teknik menjawab soalan SPM, pengucapan awam, perbincangan berkumpulan dan simulasi kemahiran lisan.

Kaedah ini  turut membantu mereka memahami penggunaan tatabahasa yang tepat serta memperkaya kosa kata. Seramai 16 orang guru Bahasa Melayu turut hadir sepanjang program pemindahan ilmu ini dilaksanakan.

Hasil maklum balas yang diterima menunjukkan program ini berjaya meningkatkan motivasi dan keyakinan murid untuk menggunakan Bahasa Melayu dengan lebih baik.

Ramai peserta menyatakan mereka kini lebih bersedia menghadapi peperiksaan SPM dan tidak lagi berasa gentar untuk bertutur menggunakan Bahasa Melayu dengan betul di khalayak ramai.

Program ini bukan sahaja memberi impak kepada komuniti setempat, tetapi juga kepada pihak UPSI. Dari sudut impak kepada UPSI dan mahasiswa, program telah berjaya ini memberi pendedahan awal kepada bakal guru tentang realiti dan budaya sebenar di sekolah.

Pengalaman mahasiswa mengendalikan murid daripada pelbagai latar belakang telah membantu mereka meningkatkan kemahiran pedagogi dan komunikasi sebagai persediaan untuk bergelar guru kelak.

Secara keseluruhannya, Program Pemindahan Ilmu Perkampungan Bahasa Generasi Madani ini bukan sahaja memberi manfaat besar kepada murid, khususnya calon-calon SPM, malah turut berupaya mengukuhkan peranan institusi pengajian tinggi dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara selaras dengan aspirasi Generasi Madani.