Oleh: Dealfonso Maipol
TANJONG MALIM, 11 April 2026 – Program Ethnoheritage Digital Infographic 2026 anjuran Persatuan Perintis Bahasa Etnik, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melabuhkan tirai dengan penuh jayanya.
Program yang terbuka kepada peserta daripada pelbagai kategori ini berjaya menjadi wadah utama dalam mengetengahkan kreativiti serta inovasi peserta menerusi penterjemahan warisan bangsa melalui medium digital yang moden dan interaktif.
Bertemakan “Ekspresi Budaya sebagai Sistem Makna dan Kelestarian dalam Masyarakat Malaysia”, program ini bukan sahaja menguji kemahiran teknikal peserta dalam menghasilkan infografik yang berkualiti tinggi, malah turut menyemai kesedaran mendalam tentang pentingnya memelihara adat, bahasa dan identiti budaya dalam era globalisasi serta pendigitalan masa kini.
Sambutan penyertaan yang amat menggalakkan daripada pelbagai peringkat pengajian membuktikan bahawa inisiatif Persatuan Perintis Bahasa Etnik ini sangat relevan dalam memupuk semangat cintakan warisan, di samping menggalakkan generasi muda menghargai kepelbagaian budaya Malaysia melalui pendekatan kreatif dan berteknologi.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua peserta, penaja, jawatankuasa pelaksana serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program berprestij ini.
