Oleh : Muhammad Iman Thaqif Abd. Ghani dan En. Mohamad Basri Jamal

Tanjong Malim, 16 Disember 2025 – Program Movie Night: Chill & Connect @ UPSI anjuran Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas) sidang 2025/2026, Jabatan Pengajian Malaysia (JPM), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya dilaksanakan dengan penuh kemeriahan dan sambutan yang amat menggalakkan daripada warga mahasiswa/i UPSI serta orang awam.

Program ini berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 5, 6 dan 7, Kampus Sultan Azlan Shah bermula pada jam 8.00 malam hingga 11.00 malam yang diterajui oleh pengarah program iaitu Izni Hairina Mohamad bersama ahli-ahli jawatankuasa yang menguruskan pelbagai keperluan program.

Gambar perjumpaan pertama kali dan perjumpaan kali terakhir beserta rehearsal sehari sebelum program
Gambar perjumpaan pertama kali dan perjumpaan kali terakhir beserta rehearsal sehari sebelum program
Gambar tayangan filem yang dipertontonkan semasa hari program

Program ini dianjurkan sebagai satu medium sosial yang santai dan inklusif bertujuan untuk menggalakkan interaksi serta komunikasi antara pelajar daripada pelbagai fakulti, bidang pengajian dan kolej kediaman.

Melalui konsep “chill & connect”, program ini memberi ruang kepada pelajar untuk berehat dan bersantai seketika sambil membina hubungan silaturahim dan semangat kekitaan dalam suasana yang harmoni dan menyeronokkan.

Tambahan pula, program ini membuka peluang untuk para pelajar lebih mengenali Persatuan Pengajian Malaysia semakin aktif menganjurkan program-program yang menyentuh pelbagai aspek seperti sosial, kepimpinan dan kerohanian.

Sepanjang proses pelaksanaan program ini, pelbagai peringkat perancangan telah dijalankan secara tersusun bermula dengan perbincangan dan mesyuarat jawatankuasa bagi menetapkan hala tuju, objektif serta pembahagian tugasan.

Gambar jualan persatuan, proses pendaftaran dan suasana di dalam dewan kuliah pusat
Gambar jualan persatuan, proses pendaftaran dan suasana di dalam dewan kuliah pusat
sesi post mortem bersama ahli jawatankuasa program

Setiap ahli jawatankuasa memainkan peranan masing-masing dengan penuh komitmen dan tanggungjawab demi memastikan kelancaran perjalanan program.

Persiapan teknikal seperti sistem audio visual, susun atur tempat, pengurusan pendaftaran peserta serta pengurusan aktiviti jualan turut diberi perhatian agar program dapat dijalankan dengan selesa dan teratur.

Semasa sesi raptai (rehearsal), majlis tertinggi dan ahli jawatankuasa telah memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pemeriksaan peralatan teknikal termasuk komputer (PC), projektor dan sistem audio bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan yang baik dan sempurna.

Selain itu, sesi percubaan tayangan filem turut dijalankan bagi menilai kualiti visual dan audio agar pengalaman tontonan peserta dapat berlangsung dengan lancar dan baik semasa hari program.

Kesungguhan dan disiplin yang ditunjukkan oleh semua ahli jawatankuasa sepanjang proses persiapan ini membuktikan komitmen tinggi dalam memastikan Program Movie Night: Chill & Connect @ UPSI ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Walaupun berhadapan dengan kekangan masa dan komitmen akademik, semangat kerja berpasukan antara ahli jawatankuasa yang kukuh telah menjadi tunjang utama kejayaan program ini.

Program ini juga telah disertai oleh Penasihat Pengajian Malaysia (JPM) iaitu Encik Mohamad Basri bin Jamal sekeluarga dan diiringi dengan Ketua Jabatan Pengajian Malaysia (JPM) iaitu Dr. Muhammad Nadzir bin Ibrahim yang hadir bersama-sama untuk memeriahkan suasana program sekali gus mencerminkan sokongan padu dari pihak akademik terhadap penganjuran program yang berunsur santai dan berimpak positif kepada kesejahteraan serta pembangunan sahsiah para pelajar.

Keistimewaan Program Movie Night: Chill & Connect @ UPSI terserlah apabila para peserta disajikan dengan pelbagai pilihan tayangan filem seram daripada pelbagai negara iaitu negara Thailand, Indonesia dan Amerika Syarikat.

Antara filem yang ditayangkan ialah The Conjuring : Last Rites (2025) dari Amerika Syarikat, Kitab Sijjin dan Illiyyin (2025) dari Indonesia serta Death Whisperer (2024) dari Thailand.

Kepelbagaian pilihan ini bukan sahaja bertujuan untuk menarik perhatian peserta malah dapat memberi peluang kepada penonton iaitu pelajar universiti untuk mengenali dan menghargai kepelbagaian budaya, naratif serta gaya penceritaan industri perfileman dari negara yang berbeza.

Melalui tayangan filem- filem ini, pelajar bukan sekdar menikmati elemen hiburan dan suspens semata-mata malah dapat meneliti nilai pengajaran yang disampaikan seperti kepentingan keimanan, kekuatan emosi, keberanian menghadapi ketakutan serta kesan buruk perbuatan yang melanggar batas moral dan kemanusiaan.

Pemilihan genre seram atau horror pula dibuat secara strategik kerana genre ini mempunyai daya tarikan tersendiri dalam kalangan pelajar, mampu mengekalkan fokus penonton serta merangsang pemikiran kritis melalui mesej simbolik dan konflik yang dipaparkan dalam jalan cerita.

Secara tidak langsung penganjuran tayangan filem seram ini berjaya menggabungkan elemen hiburan, pembelajaran tidak formal dan kesedaran nilai dalam satu platform santai, sekali gus menjadikan program ini lebih bermakna dan berimpak kepada perkembangan intelektual serta emosi pelajar.

Tambahan pula, program ini berjaya menarik perhatian dan minat peserta bukan sahaja kerana kepelbagaian filem  malah melalui aktiviti jualan makanan dan minuman ringan seperti kentang goreng, sosej, nugget dan popcorn serta pelbagai jenis minuman yang dijalankan sepanjang program berlangsung telah menambahkan lagi kemeriahan suasana.

Aktiviti ini bukan sahaja menarik minat pelajar untuk hadir, malah secara tidak langsung memberi peluang kepada ahli jawatankuasa memupuk kemahiran keusahawanan, pengurusan dan komunikasi melalui pengalaman sebenar dalam mengendalikan jualan dan melayani peserta.Inisiatif jualan ini juga berperanan sebagai salah satu usaha untuk menjana pendapatan sekali gus membantu meningkatkan dana persatuan secara berkesan.

Sepanjang program berlangsung, jelas kelihatan interaksi positif antara pelajar daripada latar belakang yang berbeza.

Komunikasi yang terjalin dalam suasana santai ini bukan sahaja memperkukuh jaringan sosial dalam kalangan mahasiswa/i, malah menyumbang kepada pembentukan komuniti kampus yang lebih mesra, inklusif dan harmoni.

Secara keseluruhannya, Program Movie Night: Chill & Connect @ UPSI telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan memberi impak positif terhadap kesejahteraan mental, emosi dan sosial pelajar.

Program ini membuktikan bahawa aktiviti santai yang dirancang dengan baik mampu menjadi platform bermakna dalam membentuk keseimbangan antara akademik dan kehidupan sosial mahasiswa.

Diharapkan penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan Persatuan Pengajian Malaysia dalam melahirkan mahasiswa/i yang seimbang, berdaya saing dan holistik selaras dengan aspirasi UPSI.