oleh: Irdina Wafa Zulkifli

Tanjong Malim, 28 Februari 2026 – Persatuan Alumni Suluh Budiman (PASB) dengan kerjasama Pusat Alumni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Majlis Iftar dan Infak 2026M/1447H bertempat di Dewan Sri Tanjong, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI, pada Sabtu bersamaan 10 Ramadan 1447H.

Majlis yang menghimpunkan kira-kira 200 orang jemputan ini melibatkan ahli alumni, wakil pengurusan universiti serta para penyumbang. Program ini turut meraikan seramai 50 orang pelajar pusat tahfiz terpilih di daerah Muallim melalui penyampaian sumbangan infak dan duit raya.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Dihormati, En. Mohamad Zulhilmy bin Abd Manan, Setiausaha Sulit Kanan, Kementerian Pendidikan Tinggi, yang menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif alumni dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti.

“Inisiatif seperti ini mencerminkan kesungguhan alumni dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan Masyarakat. Program berbentuk Kebajikan serta kerohanian seumpama ini wajar diteruskan kerana ia bukan Sahaja enyantuni golongan memerlukan, malah memupuk nilai keihsanan dan tanggungjawab social dalam kalangan warga universiti.” Ujar beliau dalam ucapan perasmian.

Seorang pelajar tahfiz yang menerima sumbangan turut melahirkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan.

“Kami sangat bersyukur dan gembira dapat berbuka puasa bersama warga UPSI dan para alumni. Sumbangan ini amat bermakna buat kami dan menjadi motivasi untuk terus menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh,” ujarnya ringkas.

Majlis ini dimulakan sekitar jam 5:30 petang dengan ketibaan seramai 50 orang pelajar pusat tahfiz yang diraikan sebagai penerima sumbangan. Program diteruskan dengan ketibaan tetamu jemputan dan barisan kepimpinan sebelum ucapan alu-aluan pengerusi majlis serta bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Acara kemuncak menyaksikan penyampaian sumbangan infak dan duit raya kepada para pelajar tahfiz sebagai simbol keprihatinan alumni terhadap kebajikan komuniti setempat.

Penganjuran program ini merupakan hasil kerjasama erat antara Persatuan Alumni Suluh Budiman dan Pusat Alumni UPSI dalam usaha menyemarakkan penghayatan Ramadan melalui pendekatan kebajikan dan kemasyarakatan. Inisiatif ini turut memperlihatkan peranan aktif alumni dalam menyumbang kembali kepada universiti serta komuniti sekitar.

Majlis ini diakhiri dengan bacaan doa dan acara berbuka puasa secara berjemaah sebelum solat Maghrib dilaksanakan. Program yang berlangsung dalam suasana tertib dan penuh muhibah itu dilihat berjaya mencapai objektifnya dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara alumni, warga universiti dan komuniti daerah Muallim, selaras dengan semangat Ramadan yang menekankan nilai kebersamaan dan kepedulian sosial.