Oleh: Irdina Wafa Zulkifli
Kuching, 11 Mac 2026 – Pusat Alumni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan satu kunjungan hormat kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak yang baharu, Tuan Haji Omar Mahli, dalam satu pertemuan yang berlangsung di Kuching, Sarawak semalam.
Kunjungan tersebut bertujuan untuk membincangkan usaha memperkemas dan mengemas kini data alumni UPSI yang sedang berkhidmat di negeri Sarawak, khususnya dalam kalangan warga pendidik di bawah seliaan JPN Sarawak.
Perbincangan ini dilihat penting bagi memperkukuh jaringan alumni serta memastikan maklumat berkaitan graduan UPSI yang berkhidmat di negeri tersebut dapat diselaraskan dengan lebih sistematik.


Pengerusi Sekretariat Anak Kandung Suluh Budiman, Dato Fauzi Mahsun, menyatakan bahawa usaha pengumpulan data alumni ini penting bagi memastikan jaringan alumni UPSI di Sarawak dapat diperkukuh serta dimanfaatkan dalam pelbagai program pembangunan pendidikan.
Menurut beliau, maklumat yang lebih tersusun akan membantu pihak sekretariat merancang aktiviti yang lebih menyeluruh melibatkan alumni di peringkat negeri.
Turut hadir bersama adalah Dr. Ishak Johari, Pengerusi Sekretariat Anak Kandung Suluh Budiman Negeri Sarawak dan Dato Safuan bin Haji Raba’ai, Timbalan Pengerusi Sekretariat Anak Kandung Suluh Budiman.
Pertemuan ini turut menjadi platform untuk membincangkan potensi kolaborasi dalam pelbagai program pembangunan pendidikan serta penglibatan alumni dalam menyumbang kepakaran kepada komuniti pendidikan.
Dalam pertemuan ini juga, wakil Pusat Alumni bersama barisan Sekretariat Anak Kandung Suluh Budiman juga saling berkongsi perkembangan terkini berkaitan aktiviti serta inisiatif yang dilaksanakan bagi menghubungkan para alumni Anak Kandung Suluh Budiman.
Kunjungan hormat ini diharap menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara Pusat Alumni UPSI dan JPN Sarawak dalam usaha memperkasa jaringan alumni serta menyokong pembangunan pendidikan di negeri tersebut.

