Kelantan, 3 April 2026 – Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan satu Ziarah Kasih bagi menyantuni alumni era UPSI Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi tahun 2016, Wan Ahmad Akmal Wan Mustapha, yang baru sahaja pulih selepas terlibat dalam kemalangan serius.

Beliau sebelum ini telah menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 52 hari dan meneruskan pemulihan di wad selama 8 hari sebelum dibenarkan pulang.

Lawatan ini merupakan usaha Pusat Alumni dalam memberi sokongan moral serta mengeratkan hubungan silaturahim antara alumni dan pihak universiti.

Menurut ibu beliau, keadaan Wan Ahmad Akmal kini semakin baik. Selera makan beliau kembali normal, beliau juga mampu menunaikan ibadah puasa, serta masih mengingati tentang kejadian kemalangan yang menimpa dirinya.

Perkembangan positif ini menunjukkan beliau berada dalam fasa pemulihan yang memberansangkan.

Dalam pertemuan tersebut, Wan Ahmad Akmal turut berkongsi hasratnya untuk menyambung pengajianPhD di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), sekali gus memperlihatkan semangat dan motivasi yang tinggi walaupun melalui pengalaman mencabar.

Lawatan ini adalah sebahagian daripada inisiatif Pusat Alumni UPSI yang prihatin terhadap kebajikan alumni yang memerlukan sokongan serta memastikan mereka sentiasa dihargai dan diingati oleh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris.