Oleh : Nur Aqilah Mohd Aidill
Tanjong Malim, 9 Mac 2026 – Program Seminar The Integrity Pact: Honouring Trust, Rejecting Corruption telah berjaya dilaksanakan secara dalam talian dengan penyertaan pelajar serta warga universiti yang menunjukkan komitmen terhadap usaha memupuk nilai integriti dalam kalangan generasi muda.
Penganjuran seminar ini bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan integriti, kepercayaan serta penolakan terhadap amalan rasuah dalam kehidupan seharian dan persekitaran profesional.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah Program,Esfellyndra Ellana Joharin yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran seminar tersebut.


Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa integriti merupakan asas penting dalam membentuk individu yang beretika dan bertanggungjawab.
Beliau turut berharap agar seminar ini dapat menjadi platform kepada para peserta untuk memahami kepentingan memelihara amanah serta menolak sebarang bentuk salah laku yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan oleh Penasihat Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) ,Profesor Madya Dr. Md Noor Saper yang menegaskan bahawa nilai integriti perlu dipupuk sejak di peringkat mahasiswa agar dapat melahirkan generasi yang berprinsip, beretika dan berdaya saing.
Beliau turut menekankan bahawa sikap amanah, jujur dan bertanggungjawab perlu menjadi pegangan dalam setiap aspek kehidupan, khususnya apabila para pelajar melangkah ke alam pekerjaan kelak.
Seminar ini turut menampilkan seorang penceramah jemputan iaitu Pn. Nur Farihah Mohd Fadrullah Sahimi selaku Penolong Pendaftar Kanan Unit Integriti , Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berkongsi pengetahuan serta pandangan berkaitan isu integriti dan rasuah dalam masyarakat.
Melalui perkongsian yang disampaikan, peserta didedahkan dengan kepentingan membina budaya integriti, memahami implikasi rasuah serta peranan individu dalam menolak sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.
Perkongsian tersebut turut memberi kesedaran kepada peserta tentang tanggungjawab bersama dalam memastikan nilai kejujuran dan kepercayaan sentiasa dipelihara.


Secara keseluruhannya, penganjuran Seminar The Integrity Pact: Honouring Trust, Rejecting Corruption diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman peserta tentang kepentingan integriti dalam kehidupan seharian.
Program ini juga diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan generasi mahasiswa yang berintegriti tinggi, beretika serta komited dalam menolak sebarang bentuk rasuah demi kesejahteraan masyarakat dan negara.
