Mahasiswa UPSI berkumpul di Masjid Al-Mursyidin bagi menyertai program berbuka puasa secara berjemaah.Mahasiswa UPSI berkumpul di Masjid Al-Mursyidin bagi menyertai program berbuka puasa secara berjemaah.

Oleh Adila Munshi

TANJONG MALIM, 3 Mac 2026 — Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (MPP UPSI) dengan kerjasama Pusat Islam UPSI telah menganjurkan Program Minggu Berkah Iftar sempena Ihya’ Ramadan 1447H / 2026 bagi mengimarahkan bulan Ramadan dalam kalangan warga mahasiswa UPSI.

Program yang berlangsung dari 26 Februari 2026 hingga 3 Mac 2026 di Masjid Al-Mursyidin, KSAS, UPSI itu berjaya menghimpunkan mahasiswa untuk berbuka puasa secara berjemaah dalam suasana penuh harmoni dan ukhuwah.

Penganjuran program ini bertujuan menghidupkan suasana Ramadan di kampus melalui penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kerohanian serta memupuk nilai kebersamaan dan kesyukuran dalam kalangan warga universiti.

Suasana kebersamaan mahasiswa UPSI sepanjang berlangsungnya Program Minggu Berkah Iftar.

Sepanjang program berlangsung, para mahasiswa berkumpul di masjid bagi menunggu waktu berbuka puasa sebelum menikmati juadah secara berjemaah dan menunaikan solat Maghrib bersama.

Selain menjadi platform untuk menikmati juadah berbuka, program ini turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk berinteraksi serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.

Penganjuran Minggu Berkah Iftar ini juga mencerminkan komitmen Majlis Perwakilan Pelajar UPSI dalam memupuk budaya kebersamaan serta menyemai nilai kemasyarakatan dalam kalangan mahasiswa.

Melalui program ini, mahasiswa diharap dapat menghayati keindahan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amalan kebaikan serta memperkukuh hubungan sesama warga universiti.