oleh Nur Syazwana Che Ghani
Tanjong Malim – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima dan menganjurkan Lawatan Penanda Aras Prauniversiti SMKA Tok Bachok ke UPSI kolaborasi bersama Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ) UPSI pada 7 April 2026.
Lawatan ini melibatkan 35 orang pelajar Prauniversiti SMKA Tok Bachok termasuk guru pengiring. MPP UPSI dan SMPP, serta Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI juga terlibat sebagai ahli jawatankuasa.
Lawatan Penanda Aras Prauniversiti SMKA Tok Bachok ke UPSI bersama Majlis Perwakilan Pelajar UPSI dan Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI adalah bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar prauniversiti tentang aliran pengajian, kehidupan kampus dan peluang melanjutkan pengajian di UPSI; memperkenalkan peranan, fungsi dan struktur organisasi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI kepada peserta; mengeratkan hubungan serta jaringan kerjasama antara SMKA Tok Bachok dengan MPP UPSI dan Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI dan memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar sekolah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
Sepanjang lawatan berlangsung, para peserta telah mengikuti beberapa pengisian oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI dengan kerjasama Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI.
Antara pengisian utama ialah sesi pengenalan kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang merangkumi latar belakang universiti, suasana kampus, kemudahan yang disediakan, serta keistimewaan menyambung pengajian di UPSI.
Peserta juga diberi pendedahan berkaitan aliran dan program pengajian tahfiz qiraat oleh Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI untuk memberi gambaran awal kepada pelajar.
Di samping itu, program ini turut menampilkan sesi pengenalan bersama Majlis Perwakilan Pelajar UPSI dan struktur organisasi. Melalui sesi ini, para peserta dapat memahami peranan MPP dalam menjaga kebajikan pelajar, merancang aktiviti pembangunan mahasiswa, serta menjadi penghubung antara mahasiswa dengan pihak universiti.
Perkongsian pendek untuk para pelajar menyambung pelajaran di UPSI juga dikongsikan oleh MPP UPSI. Sesi perkongsian bersama barisan MPP UPSI memberi peluang kepada pelajar SMKA Tok Bachok untuk mengenali dengan lebih dekat kehidupan sebagai mahasiswa, pengalaman berorganisasi, serta kepentingan kepimpinan dalam membentuk jati diri pelajar.



Secara keseluruhannya, Lawatan Penanda Aras Prauniversiti SMKA Tok Bachok bersama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI telah berjaya mencapai matlamatnya sebagai medium pendedahan awal kepada pelajar sekolah terhadap suasana kampus, aliran pengajian, kepimpinan mahasiswa dan peluang melanjutkan pengajian di UPSI.
Program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara pihak sekolah dan universiti, malah turut menyerlahkan peranan MPP UPSI sebagai badan kepimpinan pelajar yang proaktif, berwibawa dan komited dalam melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti luar serta menyokong agenda pembangunan pendidikan generasi muda.

