Oleh: Samsuddin Abd Hamid

Tanjong Malim, 8 April 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengorak langkah memperkukuh jaringan akademik antarabangsa apabila Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (i-Furqan) menganjurkan Seminar Antarabangsa Pascasiswazah Pendidikan Islam dengan kerjasama Institut Agama Islam Nahdlatul Ulama’ (IAINU), Kebumen, Indonesia.

Program yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan Tunku Bainun ini menghimpunkan para sarjana, pensyarah dan pelajar dari Malaysia serta Indonesia dalam usaha memperkasa budaya penyelidikan dan memperluas jaringan keilmuan dalam bidang Pendidikan Islam.

Seminar ini turut disertai delegasi seramai 19 orang dari IAINU Kebumen yang terdiri daripada pensyarah, staf pentadbiran dan pelajar.

Sebanyak enam pembentangan ilmiah telah diketengahkan, merangkumi perkongsian hasil penyelidikan terkini oleh pensyarah dan pelajar dari kedua-dua institusi.

Antara pembentang yang terlibat termasuk Dr. Samsuddin Abd Hamid, Dr. Mohamad Zarkhuan Zainol serta Encik Ah-Luqman Al-Hakim Che’ Zahari dari UPSI, di samping Dr. Atim Rinawati dan Dr. Maryanto dari IAINU Kebumen.

Menambah nilai kepada program, sesi perbincangan strategik antara i-Furqan UPSI dan IAINU Kebumen turut diadakan bagi meneroka peluang kerjasama yang lebih luas.

Kemuncak acara menyaksikan pemeteraian Letter of Intent (LOI) sebagai simbol komitmen bersama dalam memperkukuh kolaborasi akademik, khususnya dalam bidang penyelidikan, mobiliti pelajar dan pertukaran kepakaran.

Penganjuran seminar ini bukan sahaja menyediakan platform perkongsian ilmu, malah menjadi pemangkin kepada pembinaan jaringan akademik yang lebih dinamik dan berdaya saing di peringkat global.

Usaha berterusan seperti ini diharap dapat memperkukuh kedudukan UPSI sebagai peneraju dalam pembangunan Pendidikan Islam yang holistik dan berimpak tinggi.