Tanjong Malim, 22 Disember 2025– Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (I-Furqan) dengan kerjasama Persatuan Turath Islami (PTI), Persatuan Pendidikan Islam (PPI) serta Persatuan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat (PTQ) menganjurkan Program Pengajian Kitab Turath (PKT) yang berlangsung bermula 22 Disember 2025 hingga 18 Januari 2026.
Program yang dijalankan secara berperingkat mengikut jadual ditetapkan itu berlangsung di Surau Al-Falah dan bertujuan menghidupkan tradisi pengajian kitab turath dalam kalangan mahasiswa, selain menyediakan ruang pengajian ilmu agama yang tersusun serta berterusan.
Sepanjang tempoh penganjuran, beberapa sesi pengajian kitab turath diadakan dan dikendalikan oleh asatizah jemputan mengikut hari tertentu. Antaranya pengajian kitab Tafsir al-Jalalain yang disampaikan oleh Ustaz Alfuadi Ahmad Rosyid pada setiap Isnin, pengajian kitab Jauharah Tauhid oleh Ustaz Muhammad Ilzam Billah pada setiap Selasa serta pengajian Hadis 40 oleh Ustaz Taslim pada setiap Rabu.




Selain itu, pengajian kitab Fathul al-Qorib dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Bagus Fatichur Ridio pada setiap Jumaat, manakala pengajian Fiqh an-Nisa’ yang disampaikan oleh Ustazah Imvitahul Mawaddah turut diadakan pada hari Jumaat dari jam 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang.
Sepanjang pelaksanaan program, para peserta mengikuti sesi pengajian dengan penuh tumpuan dan komitmen. Kaedah penyampaian yang sistematik serta bersifat interaktif membantu peserta memahami kandungan kitab dengan lebih jelas, sekali gus menggalakkan penglibatan aktif dalam sesi soal jawab dan perbincangan. Suasana pengajian yang kondusif di surau turut menyumbang kepada kelancaran perjalanan program.
Program ini menerima sambutan yang baik daripada para peserta, sekali gus mencerminkan minat yang tinggi terhadap pengajian ilmu turath dalam kalangan mahasiswa. Kerjasama antara I-Furqan dan persatuan-persatuan terlibat juga dilihat berjaya memperkukuh jaringan dakwah serta aktiviti keilmuan di peringkat kampus.

Secara keseluruhan, Program Pengajian Kitab Turath (PKT) berjaya dilaksanakan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan. Penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan secara konsisten pada masa akan datang sebagai usaha berterusan melahirkan mahasiswa yang berilmu, berakhlak serta berpegang teguh kepada tradisi keilmuan Islam.
