Oleh: Afifah Azari, Muhammad Aminullah Hassim dan Ummikalsum Mat Lazim
Tanjong Malim, 12 September 2025 – Program Dakwah Kreatif: Membina Content di TikTok bersama Inche Lebah berjaya dilaksanakan dengan penuh sambutan melalui siaran langsung di saluran YouTube Media PTQ Official, yang mencatat lebih 1,800 penonton sepanjang program berlangsung. Program anjuran Exco Dakwah dan Kerohanian Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI ini bertujuan membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami teknik penghasilan video dakwah yang lebih segar, memanfaatkan platform media sosial secara berkesan, serta menghayati prinsip etika dalam penyampaian mesej Islam.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ustazah Ummikalsum selaku perasmi. Dalam amanat beliau, beliau turut menekankan bahawa tanggungjawab menyampaikan dakwah bukan hak eksklusif para influencer, sebaliknya kewajipan setiap Muslim untuk berkongsi kebaikan walau sekecil apa pun kerana nilainya tetap besar di sisi Allah.

Sesi diteruskan dengan perkongsian utama oleh Inche Lebah yang memberi panduan praktikal berkaitan penyusunan profil TikTok dan teknik menghasilkan kandungan yang berkesan. Antara perkongsian beliau ialah:
Teknik GUBI (Gambar, Username, Bio, Ikut) iaitu pemilihan gambar profil yang sesuai, penyusunan username yang ringkas dan mudah diingati, penulisan bio yang meyakinkan, serta pemilihan akaun bermanfaat untuk diikuti.
Teknik SMS (Sasaran, Masalah, Solusi) dalam menghasilkan content, iaitu mengenal pasti audiens, mengetengahkan isu yang dekat dengan masyarakat, serta menawarkan solusi berlandaskan al-Quran dan sunnah.


Melalui pengisian ini, para mahasiswa dapat mempelajari kaedah memilih gambar profil yang tepat, memperbaiki username dan bio, serta memahami strategi menghasilkan kandungan dakwah yang lebih menarik dan berkesan di media sosial.

Secara keseluruhannya, program ini telah memberi pencerahan kepada mahasiswa tentang potensi besar media sosial dalam menyampaikan dakwah. Diharapkan usaha seperti ini dapat melahirkan generasi pendakwah kreatif yang mampu menjadi suara Islam di platform digital.
