oleh: Nur Hasikin binti Nur Ahmad dan Prof. Madya Dr. Kamarul Ismail

Tanjong Malim, 22 November 2025 –  Usaha memperkasa pendidikan kelestarian alam sekitar dalam kalangan masyarakat terus digerakkan melalui Projek Santun Masyarakat “Trash to Treasure” anjuran pelajar Program Pendidikan Geografi AT33, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang berlangsung di Masjid Ehsaniah, Kampung Kelan, baru-baru ini.

Program tersebut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kefahaman masyarakat, khususnya remaja berusia 13 hingga 17 tahun, mengenai bahaya penggunaan beg plastik serta kepentingan memupuk budaya guna semula bahan terpakai dalam kehidupan seharian. Dalam ucapan aluan Pengerusi Masjid Ehsaniah, Ustaz Zulkarnain Yusop menzahirkan penghargaan kepada UPSI atas usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kelestarian alam sekitar. Beliau berkata, program seumpama itu bukan sahaja mengeratkan hubungan komuniti dengan institusi pendidikan, malah menyemai kesedaran dan tanggungjawab memelihara alam sekitar dalam masyarakat setempat.

Bergambar kenangan bersama peserta program dan komuniti Kg Kelan

Program turut diselitkan dengan sesi perkongsian oleh Prof. Madya Dr. Kamarul Ismail, pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar UPSI, yang membentangkan topik berkaitan Pengurusan Sisa Elektronik (e-waste). Beliau memberi penghargaan kepada ahli jawatan kuasa masjid kerana berani membawa pembaharuan dalam penyebaran maklumat melalui institusi masjid. Beliau juga menekankan risiko bahan toksik yang terkandung dalam sisa elektronik serta kepentingan mengurusnya secara berhemah bagi mengelakkan pencemaran dan kesan kesihatan jangka panjang.

Program yang digerakkan oleh empat pelajar program AT33, iaitu Nur Hasikin Nur Ahmad, Siti Zulaikha Hamzah, Naizatul Syinaz Kamaruddin, dan Nor Aisyah Mohd Hasana ini mendapat sokongan dan kerjasama erat daripada komuniti setempat serta pihak pengurusan masjid. Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah pembinaan taman mini menggunakan tayar terpakai dan botol plastik, melukis mural bagi memperindah kawasan masjid, serta penghasilan beg guna semula (eco bag) daripada pakaian terpakai. Aktiviti berasaskan kreativiti itu bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada remaja, malah menyampaikan mesej kelestarian melalui pendekatan praktikal dan menyeronokkan.

Menurut penyelaras program, Nur Hasikin Nur Ahmad, program seumpama ini memberi peluang kepada mahasiswa mengukuhkan kemahiran insaniah, merangkumi komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan keupayaan menyelesaikan masalah secara efektif dalam situasi sebenar. Pendekatan ini diyakini mampu melahirkan graduan yang lebih holistik dan responsif terhadap keperluan komuniti. Kejayaan melaksanakan aktiviti bersama komuniti ini membuktikan bahawa pelajar UPSI bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik, malahan membina sifat kepimpinan yang mampu mencorak hala tuju masyarakat keseluruhannya.