Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon & Prof. Madya Dr. Zaliza Binti Hanapi
Tanjong Malim, 13 November 2025 – Program Pentauliahan Profesional dalam Bidang Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) Pelajar Khas (Masalah Pembelajaran) anjuran Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus melakar impak signifikan dalam memperkasa profesionalisme pendidik pendidikan khas di Malaysia. Antara fokus utama program ini ialah Modul 3: Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM), sebuah modul komprehensif yang menumpukan kepada penguasaan komunikasi alternatif bagi murid berkeperluan khas khususnya ketidakupayaan pendengaran.

Modul yang dipimpin oleh Dr. Vestly Kong Liang Soon ini dirangka secara berstruktur dan dilaksanakan melalui gabungan pengajaran teori serta latihan amali. Berdasarkan dokumen rasmi modul, KTBM memberi penekanan kepada pemahaman sejarah, struktur linguistik serta kepentingannya sebagai medium komunikasi yang menyokong pedagogi pendidikan khas. Peserta turut menjalani siri simulasi komunikasi, latihan berpasangan, tugasan amali serta penggunaan bahan bantu visual bagi memastikan kemahiran yang dipelajari boleh diaplikasikan secara berkesan dalam bilik darjah sebenar. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman peserta, malah membina keyakinan mereka untuk menerapkan KTBM dalam pengajaran harian.

Salah satu komponen terpenting modul ini ialah pembangunan Bahan Bantu Mengajar (ABM/BBM). Peserta diberi peluang mengolah bahan pengajaran kreatif seperti kad imbasan, carta kod tangan dan modul mini yang disesuaikan dengan keperluan murid ketidakupayaan pendengaran. Penilaian dijalankan melalui kuiz, kajian kes serta tugasan kumpulan, meliputi pembinaan bahan pengajaran dan pembentangan. Keseluruhan proses ini bertujuan membudayakan amalan komunikasi inklusif yang berpaksikan penyelesaian masalah dan strategi pedagogi berkesan.
Bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran, peserta turut menyertai lawatan profesional ke Kolej Komuniti Selayang pada 13 November 2025, melibatkan seramai 16 pensyarah dari Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh Malaysia. Menurut Prof. Madya Dr. Zaliza Hanapi, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, FTV. Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan langsung berkaitan pengendalian pelajar Orang Kurang Upaya serta penerapan amalan terbaik dalam pendidikan dan latihan teknikal (TVET).
Sepanjang lawatan, peserta berupaya meneliti sendiri pelaksanaan program latihan kemahiran, infrastruktur sokongan dan kaedah pengajaran yang digunakan dalam membantu pelajar berkeperluan pendidikan khas ketidakupayaan pendengaran di institusi berkenaan. Pendedahan ini memberi ruang kepada peserta untuk menghubungkan teori Kod Tangan Bahasa Melayu yang dipelajari dengan pelaksanaan sebenar di lapangan, sekali gus memperkukuhkan kemahiran profesional mereka sebagai pensyarah.

Secara keseluruhannya, Modul 3: Kod Tangan Bahasa Melayu dan lawatan profesional ini memainkan peranan besar dalam meningkatkan kompetensi peserta dalam bidang pendidikan khas. Gabungan latihan teori, amali, pembangunan bahan pengajaran dan pendedahan dunia sebenar menjadikan program PDP UPSI selari dengan aspirasi institusi sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan khas negara. Program ini bukan sahaja memperkasa peserta dari aspek kemahiran dan pengetahuan, malah memperkukuhkan agenda nasional dalam memperluas akses kepada pendidikan inklusif yang berkualiti untuk semua.

