Oleh: Nur Amira Zulkafli
Tanjong Malim, 29 November 2025 – Menyantuni pembelajaran melalui pendekatan kem kini menjadi kaedah yang semakin diberi perhatian kerana mampu menggabungkan elemen ilmu, aktiviti interaktif dan pengalaman menyeronokkan. Selaras dengan matlamat tersebut, Kem Bestari Solat 2025 dianjurkan bagi memperkukuh kefahaman peserta terhadap asas wuduk dan solat secara lebih sistematik, dekat dan berkesan.
Program selama dua hari, bermula 28 hingga 29 November 2025, merupakan anjuran SK Kuala Slim dan Pusat Ulul Albab UPSI dengan kerjasama Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA). Seramai 106 murid sekolah rendah berusia 7 hingga 12 tahun menyertai kem ini, dibimbing oleh 20 orang fasilitator KeSUA yang berpengalaman.
Pelbagai modul menarik disusun bagi memastikan proses pembelajaran berjalan ceria dan memberi kesan mendalam, antaranya Ice Breaking, Clean Master, Teori & Praktikal Solat, Team Building, serta Explorace.


Slot Ice Breaking: Mencetus Mesra, Mengerat Ukhuwah dimulakan dengan aktiviti Ice Breaking yang bertujuan membina suasana ceria dan mengeratkan hubungan antara peserta. Aktiviti ini membantu mereka saling mengenali, berkomunikasi dengan yakin serta memupuk sikap bekerjasama sebelum modul seterusnya berlangsung.
Clean Master: Kuasai Asas Wuduk Dengan Sempurna memberi tumpuan kepada pengukuhan asas wuduk melalui tunjuk ajar langkah demi langkah, diiringi penilaian bagi memastikan peserta benar-benar memahami cara berwuduk yang sempurna. Penggunaan video animasi turut membantu memudahkan pemahaman mengenai anggota wuduk dan kepentingan bersuci sebelum solat.


Teori & Praktikal Solat: Pelaksanaan Ibadah Dengan Tepat membuka ruang kepada peserta mendalami pergerakan solat, bacaan wajib serta tatacara yang sahih. Sesi ini dianggap penting kerana solat merupakan ibadah fardu ain yang wajib dikuasai oleh setiap Muslim. Slot ini diakhiri dengan ujian praktikal untuk menilai kemahiran peserta.


Team Building: Seronok Bermain, Kuat Semangat Berpasukan dijalankan dalam bentuk sukaneka yang meriah bagi mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan peserta. Selain menjadi penyegar suasana selepas modul yang lebih teknikal, aktiviti ini turut meningkatkan motivasi peserta untuk terus mengikuti program pada hari kedua.


Explorace: Uji Minda, Uji Ibadah diserikan dengan sesi senaman pagi sebelum peserta memasuki slot penutup, iaitu Explorace. Aktiviti ini dijalankan secara berkumpulan melalui beberapa stesen seperti stesen pengujian niat, pelaksanaan ibadah, dan ujian minda. Tugasan berasaskan modul yang telah dipelajari ini membolehkan peserta mengaplikasikan ilmu dengan lebih menyeronokkan.
Harapan dan pesanan dalam ucapan penutupan, Penyelaras 1 Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Tajul Rosli bin Shuib, merakamkan penghargaan atas komitmen semua pihak dan menyatakan keyakinan bahawa program ini mampu memberi impak positif kepada peserta SK Kuala Slim.
Beliau berharap pengalaman sepanjang kem ini menjadi titik tolak peningkatan ilmu dan amalan ibadah dalam diri para peserta.
Sementara itu, Penasihat Program, Nor Hayati Aziz, menegaskan bahawa pelaksanaan program seperti ini bukan sahaja bermanfaat kepada murid, tetapi turut menjadi pengalaman penting buat mahasiswa UPSI sebagai persediaan menempuhi profesion pendidikan yang semakin mencabar.
