Barisan Pelajar AT41 bersama Barisan Pensyarah Jabatan Moral, Sivik dan Pembangunan KarakterBarisan Pelajar AT41 bersama Barisan Pensyarah Jabatan Moral, Sivik dan Pembangunan Karakter

Ditulis oleh: Noreen Ngayun anak Peter

Tanjong Malim, 14 Januari 2026 – Program Majlis Restu Ilmu AT41 dan Potluck anjuran Persatuan Pendidikan Moral Sidang 2025/2026 telah berjaya dilaksanakan di Dewan Kuliah Pusat 7, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar serta Jabatan Pengajian Sivik, Moral dan Pembangunan Karakter, Fakulti Sains Kemanusiaan. Program ini melibatkan seramai 331 orang pelajar AT41 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral).

Majlis bermula seawal jam 8.00 pagi dengan sesi pendaftaran peserta dan ketibaan tetamu jemputan. Acara dimulakan dengan kata aluan pengacara majlis, diikuti nyanyian Lagu Negaraku, lagu Ibu Kandung Suluh Budiman serta lagu rasmi PERMOR dan bacaan doa.

Barisan AJK Pelaksana Majlis Restu Ilmu dan Potluck
Pelajar AT41 Semester 1
Pelajar AT41 Semester 3

Ucapan aluan telah disampaikan oleh Pengarah Program, Noreen Ngayun Anak Peter diikuti ucapan perasmian oleh Ketua Jabatan Pengajian Moral, Sivik dan Pembangunan Karakter iaitu  Dr Marshelayanti binti Mohamed Razali.

Penganjuran majlis ini bertujuan memohon restu dan keberkatan ilmu daripada para pensyarah sebelum pelajar menghadapi peperiksaan akhir semester. Program ini juga menjadi medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa dan pensyarah setelah 14 minggu menjalani kuliah.

Selain itu, majlis ini menyemai nilai menghargai jasa pensyarah serta memupuk kesedaran kerohanian dalam kalangan bakal pendidik agar mereka sentiasa mengintegrasikan nilai murni dalam diri.

Antara pengisian utama program ialah slot bersama pensyarah Jabatan Pengajian Moral, Sivik dan Pembangunan Karakter yang memberi kata-kata nasihat dan dorongan kepada para pelajar.

Sesi Restu Ilmu menjadi acara kemuncak apabila pelajar berpeluang bersalaman dan memohon keberkatan secara langsung daripada pensyarah.

Program turut diserikan dengan cabutan bertuah, tayangan video montaj serta sesi bergambar sebagai kenangan bersama. Jamuan potluck setiap batch pula mengeratkan lagi ukhuwah dan semangat kekeluargaan dalam kalangan mahasiswa.

Pelajar AT41 Semester 5
Pelajar AT41 Semester 7

Dari sudut Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), program ini menyokong SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh melalui pembinaan hubungan harmoni serta budaya saling menghormati antara pelajar dan pensyarah.

Selain itu, ia turut sejajar dengan SDG 17: Kerjasama Demi Matlamat melalui kerjasama erat antara persatuan pelajar, pihak fakulti dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dalam menjayakan program ini.

Secara keseluruhannya, Majlis Restu Ilmu AT41 dan Potluck Setiap Batch bukan sahaja menjadi platform persediaan emosi dan rohani menjelang peperiksaan, malah memperkukuh jalinan ukhuwah serta identiti mahasiswa Pendidikan Moral sebagai bakal pendidik yang berakhlak dan berintegriti.

Program ini membuktikan bahawa kejayaan akademik perlu disertai dengan keberkatan ilmu, nilai murni serta sokongan komuniti yang kukuh.