oleh : STEPFANUS WAN ULOI
Tanjong Malim, 17 Januari 2026 – Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR) Sesi 2025/2026 telah berjaya menganjurkan Program Sukan Rakyat AT-41 yang berlangsung dengan penuh meriah di Padang B (Stadium Mini), Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 2.00 petang ini melibatkan semua pelajar AT41 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral). Penganjuran program ini bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, memupuk semangat perpaduan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi Pendidikan Moral.
Majlis dimulakan dengan pendaftaran peserta dan ketibaan tetamu jemputan. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Cik Nurul Nadia Binti Ibrahim, Penasihat PERMOR. Majlis perasmian dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR) sebelum ucapan perasmian oleh penasihat persatuan iaitu Cik Nurul Nadia Binti Ibrahim.



Bagi memanaskan suasana, aktiviti senamrobik dan ice-breaking telah dijalankan sebelum acara sukaneka bermula. Pelbagai permainan tradisional dan sukan rakyat dianjurkan secara serentak seperti bola naga, bola beracun, galah panjang, lari dalam guni dan tarik tali. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja mencetuskan suasana ceria dan kompetitif secara sihat, malah berjaya mengembalikan nostalgia permainan warisan yang semakin dilupakan.
Melalui penganjuran program ini, peserta didedahkan kepada kepentingan kerjasama berpasukan, komunikasi berkesan serta pemikiran kritis dalam menyelesaikan cabaran secara berkumpulan. Selain meningkatkan kecergasan fizikal, program ini turut menyumbang kepada kesejahteraan mental dan pembentukan sahsiah pelajar.
Program Sukan Rakyat AT-41 juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 3 (Kehidupan Sihat dan Sejahtera), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat) melalui pendekatan pembelajaran tidak formal yang berimpak tinggi.



Majlis diteruskan dengan sesi refleksi bagi menilai nilai dan pengajaran yang diperoleh sepanjang program, diikuti dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Program diakhiri dengan sesi fotografi, pembahagian makanan serta gotong-royong pembersihan kawasan sebelum bersurai.
Secara keseluruhannya, Program Sukan Rakyat AT-41 telah mencapai objektif yang digariskan dan berjaya memperkukuh semangat perpaduan, kesukanan dan penghargaan terhadap warisan budaya dalam kalangan mahasiswa Pendidikan Moral UPSI. Pihak penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan graduan yang seimbang dari segi jasmani, emosi dan sosial.

