Sesi BergambarSesi Bergambar

oleh: Dr. Nurzaimah Asalal

Tanjong Malim, 14 April 2026 – Program Ukhwah Raya VFSK4U telah berjaya dianjurkan dengan meriah sebagai platform mengeratkan hubungan silaturahim antara warga universiti dan komuniti setempat, khususnya melibatkan jemputan khas daripada Kampung Ketoyong dan Kampung Simpang Empat, Tanjong Malim.

Program yang berkonsepkan sambutan Aidilfitri ini turut menjadi medium memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan masyarakat setempat.

Kehadiran wakil daripada JPKK Kg. Ketoyong dan Kg. Simpang Empat, Tanjong Malim tersebut jelas mencerminkan komitmen bersama dalam menjayakan kolaborasi yang memberi manfaat kepada semua pihak.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk sesi ramah mesra, jamuan hari raya serta perkongsian idea berkaitan potensi kerjasama masa hadapan.

Program ini secara tidak langsung berjaya mewujudkan suasana harmoni dan memperkukuh semangat ukhwah antara pelajar, pihak universiti dan komuniti setempat.

Dr. Nurzaimah binti Asalal selaku Penyelaras V-FSK4U dalam ucapan aluannya menyatakan, program ini bertujuan untuk membina hubungan yang lebih rapat dengan komuniti luar kampus di samping membuka ruang kepada pelaksanaan program berimpak tinggi pada masa hadapan.

Kerjasama yang terjalin ini juga dilihat sebagai satu langkah awal ke arah pembangunan komuniti secara inklusif dan berterusan.

“Melalui program seperti ini, kita dapat merapatkan jurang antara universiti dan masyarakat. Ia juga menjadi asas kepada pelaksanaan program yang lebih besar, khususnya melibatkan pembangunan komuniti dan kesukarelawanan,” jelas beliau.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Jaringan dan Pengkomersilan Fakulti Sains Kemanusiaan, Prof. Madya Dr. Kamarul Ismail yang dalam ucapannya menekankan kepentingan hubungan erat antara institusi pendidikan dan komuniti setempat sebagai asas kepada pembangunan sosial yang mampan terutama kepada mahasiswa.

“Hubungan antara universiti dan komuniti perlu diperkukuhkan secara berterusan agar manfaatnya dapat dirasai bersama. Program ini merupakan satu langkah signifikan ke arah mewujudkan ekosistem kolaborasi yang holistik, melibatkan pelajar, staf serta masyarakat setempat,” jelas beliau dalam ucapan perasmian.

Menariknya, hasil daripada perbincangan dan kerjasama yang telah dijalinkan, Kampung Ketoyong dan Kampung Simpang Empat dicadangkan untuk dijadikan sebagai kampung angkat universiti pada masa akan datang.

Inisiatif ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti komuniti serta program kesukarelawanan.

Ucapan Perasmian Prof. Madya Dr. Kamarul bin Ismail, Timbalan Dekan (Jaringan dan pengkormersilan), Fakulti Sains Kemanusiaan
Ucapan En. Raja Mohd Nor bin Raja Daud, Pengerusi JPKK Kg. Simpang Empat/Berop
En. Baharul Kalam bin Zainun, Pengerusi JPKK Kg. Ketoyong

Selain itu, perancangan turut dibuat untuk melibatkan mobiliti pelajar antarabangsa, khususnya dari Indonesia, dalam program-program yang bakal dilaksanakan di kampung angkat tersebut.

Penglibatan ini bukan sahaja dapat memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar antarabangsa, malah turut memberi pendedahan budaya serta memperluas jaringan global universiti.

Secara keseluruhannya, Program Ukhwah Raya VFSK4U bukan sekadar sambutan perayaan, tetapi menjadi titik permulaan kepada kerjasama strategik yang lebih luas antara universiti dan komuniti setempat.

Diharapkan usaha ini dapat diteruskan dan diperkasakan bagi melahirkan masyarakat yang lebih prihatin, bersatu dan berdaya saing di peringkat tempatan dan antarabangsa.