Oleh: Dealfonso Maipol

TANJONG MALIM, 11 April 2026 – Persatuan Perintis Bahasa Etnik, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan sukacitanya mengumumkan keputusan rasmi pertandingan Ethnoheritage Digital Infographic 2026 yang telah berlangsung dari 16 Februari hingga 5 April 2026.

Pertandingan yang terbuka kepada peserta daripada pelbagai kategori ini telah menyaksikan persaingan sengit serta penghasilan karya yang berkualiti tinggi.

Berdasarkan penilaian teliti oleh panel juri, sebanyak 52 karya terbaik telah dipilih. Tempat pertama dimenangi oleh Fendi Kamilis dari Pusat Pentadbiran SMK Mat Salleh Ranau, Sabah menerusi subtema Teknologi sebagai Medium Kelestarian dengan markah cemerlang sebanyak 99%.

Tempat kedua pula disandang oleh Adam Harith Bin Anuar dari Kolej Komuniti Sabak Bernam menerusi subtema Muzik sebagai Identiti Budaya dengan markah 97%.

Seterusnya, tempat ketiga dimenangi oleh Clement Justin dari SMK St. Mary Limbahau, Papar, Sabah menerusi subtema Muzik sebagai Identiti Budaya dengan markah 95%.

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Hasil karya yang dihasilkan berjaya menampilkan keindahan warisan Malaysia secara kreatif dan beretika.

Kepada semua peserta daripada pelbagai kategori yang telah menyertai pertandingan anjuran Persatuan Perintis ini, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan atas usaha serta dedikasi yang diberikan.

Pihak urusetia akan menghubungi para pemenang bagi urusan penyerahan hadiah.