Oleh: Wena Evena Anak Sempial
IPOH – Kelab Belia Bitara Tanjong Malim (Kelab Belia Bitara) telah berjaya memperoleh sijil pendaftaran daripada Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY). Majlis penyampaian sijil tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato’ Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Negeri pada 25 April 2026.
Kelab Belia Bitara diwakili oleh tiga orang ahli Jawatankuasa Tertinggi iaitu Ammar Wazif bin Mahmud, Wena Evena Anak Sempial dan Nur Afifah binti Zulkifli yang merupakan pelajar dari Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Di samping itu, Kelab Belia Bitara turut menyertai Kursus Sejati MADANI Belia yang melayakkan kelab tersebut memohon dana sehingga RM100,000.00 bagi aktiviti pembangunan ekonomi komuniti belia setempat.
YB Exco dalam ucapan perasmian kursus tersebut menggalakkan pertubuhan belia agar memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang diberikan oleh kerajaan dalam mengupayakan pembangunan belia. Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan agar semua pertubuhan belia sentiasa mengekalkan integriti terhadap amanah yang dipikul.
