Oleh: Siti Nurazmira Abdullah

Tanjung Malim – Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba (MMKZ) sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memartabatkan seni, sastera dan budaya dalam kalangan mahasiswa melalui penganjuran Rentas Budaya Borneo 2.0.

Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan penganjuran pertama pada tahun 2025, dan kali ini dijayakan sepenuhnya oleh mahasiswa MMKZ.

Program ini bukan sahaja menampilkan persembahan seni budaya dari rantau Borneo, malah menjadi platform praktikal kepada mahasiswa untuk mendalami bidang pengurusan seni secara menyeluruh.

Mahasiswa terlibat secara langsung dalam pelbagai aspek seperti pengurusan produksi, penyelarasan persembahan, teknikal pentas, promosi serta pengendalian acara.

Sepanjang program berlangsung, suasana dewan amat meriah dengan kehadiran hampir 1,000 orang yang terdiri daripada ahli jawatankuasa, penari serta penonton.

Sambutan yang menggalakkan ini jelas menunjukkan minat dan sokongan tinggi terhadap pementasan seni budaya dalam kalangan masyarakat kampus dan umum.

Program ini turut diserikan dengan penyertaan peserta dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia, sekali gus memperkukuh elemen rentas budaya serta hubungan serantau.

Penganjuran Rentas Budaya Borneo 2.0 memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengasah bakat serta meningkatkan kemahiran insaniah, khususnya dalam aspek kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan.

Melalui pengalaman ini, mereka bukan sahaja memahami teori seni dan budaya, malah mampu mengaplikasikannya dalam situasi sebenar pementasan.

Menurut perasmi iaitu Puan Siti Salwa Binti Jamaldin selaku Pengarah Pusat kesenian dan kebudayaan UPSI, penglibatan aktif mahasiswa dalam program ini membuktikan bahawa golongan muda mampu menguruskan acara berskala besar dengan baik sekiranya diberi kepercayaan dan ruang.

“Program ini memberi pengalaman yang sangat bermakna kerana kami terlibat dari awal perancangan sehingga ke hari pelaksanaan. Ia benar-benar menguji kecekapan dan komitmen kami sebagai satu pasukan,” katanya.

Selain itu, program ini turut menampilkan kepelbagaian persembahan budaya yang mencerminkan keunikan masyarakat Borneo, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dan penghargaan terhadap warisan budaya Nusantara.

Kejayaan penganjuran Rentas Budaya Borneo 2.0 membuktikan bahawa Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba mampu menjadi peneraju dalam mengangkat seni dan budaya dalam kalangan mahasiswa.

Diharapkan lebih banyak program seumpama ini dapat dilaksanakan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi mahasiswa yang bukan sahaja berilmu, malah berkemahiran tinggi dalam bidang seni dan pengurusan budaya.