16 April 2026, Tanjong Malim – Dewan Kolej Za’Ba Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menjadi lokasi berlangsungnya Awantec AI Roadshow with MOHE, sebuah program anjuran Persatuan Teknologi Maklumat yang bertujuan memperkasa pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

Program bermula dengan penuh tertib, dimulakan dengan pendaftaran peserta, diikuti nyanyian lagu Negaraku, Allah Lanjutkan Usia Sultan dan Anak Kandung Suluh Budiman. Majlis diteruskan dengan bacaan doa serta ucapan perasmian oleh Penasihat Program, YBrs. Ts. Dr. Wong Yoke Seng, Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META) yang menekankan kepentingan literasi digital dan penguasaan teknologi AI dalam kalangan pelajar sebagai persediaan menghadapi cabaran masa hadapan.

Sepanjang program berlangsung, para peserta seramai 100 orang mewakili setiap fakulti di UPSI telah didedahkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk sesi kesedaran AI, latihan praktikal serta perkongsian berkaitan laluan kerjaya dalam bidang teknologi. Sesi latihan praktikal memberi peluang kepada peserta untuk mencuba sendiri penggunaan alatan AI secara langsung, sekaligus meningkatkan kefahaman mereka terhadap aplikasi teknologi tersebut dalam situasi sebenar.

Menurut salah seorang peserta, Sdri. Nurhafiza Nadzirah Binti Saiful (Sem 6 ISMP Teknolgi Maklumat, META) program yang dilaksanakan merupakan hasil kemahuan berterusan pelajar serta sokongan padu daripada semua fakulti dan rakan industri dalam memastikan pelajar memperoleh pendedahan kepada teknologi AI yang disasarkan.

“Program seperti ini menjadi platform penting dalam memperkukuh kompetensi pelajar selaras dengan keperluan industri semasa. Komitmen semua peserta membuktikan bahawa pelajar UPSI mampu menguasai teknologi AI yang didedahkan semasa program” katanya.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kepentingan AI serta meningkatkan kesediaan mereka untuk mengadaptasi teknologi dalam pembelajaran dan kerjaya pada masa hadapan.

Seterusnya, ucapan oleh wakil Awantec AI iaitu Puan Farah Husna turut disampaikan, ucapan tersebut menyentuh tentang kepentingan penggunaan AI secara beretika dan berkesan dalam bidang pendidikan serta kerjaya. Beliau turut berkongsi perkembangan semasa teknologi AI dan peluang yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar melalui platform seperti Gemini Pro dan NotebookLM. Majlis perasmian turut disusuli dengan sesi penyampaian hadiah serta sesi fotografi sebagai tanda penghargaan dan kenangan sepanjang program berlangsung.