Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon & Dr. Hjh. Noraini binti Abdullah

Tanjong Malim, 15 Julai 2026 – Seramai 98 orang mahasiswa AT10 Semester A261 yang bakal menjalani Program Perantis Guru (PG) telah menyertai Taklimat Penempatan Perantis Guru (PG) 2026 yang berlangsung pada 15 Julai 2026, bermula jam 5.00 petang hingga 7.00 malam. Taklimat anjuran Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK) dengan kerjasama penyelaras program ini dilaksanakan secara bersemuka & hybrid. Melibatkan 61 orang peserta hadir secara bersemuka manakala 37 orang lagi mengikuti sesi secara dalam talian, sekali gus membolehkan semua mahasiswa menerima maklumat yang sama secara menyeluruh.

Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Dr. Vestly Kong Liang Soon, Penyelaras Program Perantis Guru, yang berkongsi pelbagai maklumat penting berkaitan pelaksanaan Perantis Guru sebagai persediaan mahasiswa sebelum melapor diri ke sekolah. Antara perkara yang diberikan penekanan ialah proses penempatan, tatacara melapor diri, penyediaan dokumen, penggunaan sistem berkaitan, pematuhan prosedur serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap guru pelatih sepanjang tempoh latihan.

Selain aspek pengurusan dan pentadbiran, Dr. Vestly turut menegaskan bahawa kejayaan seseorang guru pelatih bukan hanya bergantung kepada pencapaian akademik dan kemahiran pedagogi, malah turut dipengaruhi oleh adab, akhlak dan profesionalisme yang dipamerkan sepanjang berada di sekolah. Beliau mengingatkan para mahasiswa agar sentiasa menjaga sahsiah diri, menghormati pentadbir, guru pembimbing, rakan sekerja, murid dan ibu bapa, di samping mematuhi etika berpakaian, menjaga tutur kata, menepati masa serta melaksanakan setiap amanah dengan penuh integriti dan tanggungjawab.

Menurut beliau, setiap guru pelatih merupakan duta kecil kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Oleh itu, nilai-nilai seperti amanah, disiplin, kejujuran, kesantunan, empati dan semangat kerja berpasukan perlu sentiasa diamalkan bagi membentuk identiti seorang pendidik yang berwibawa. Penampilan dan tingkah laku yang profesional bukan sahaja mencerminkan keperibadian individu, malah turut membawa nama baik universiti dan profesion keguruan.

Sesi taklimat turut memberi peluang kepada para mahasiswa mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan penempatan, pemilihan sekolah, prosedur melapor diri, keperluan dokumentasi serta cabaran yang mungkin dihadapi semasa menjalani Perantis Guru. Perbincangan dua hala yang berlangsung secara aktif telah membantu meningkatkan kefahaman peserta serta memberikan keyakinan kepada mereka untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah dan melaksanakan tugas secara lebih sistematik.

Penganjuran taklimat ini membuktikan komitmen PM2PK bersama Penyelaras Program Perantis Guru dalam memastikan setiap mahasiswa mendapat maklumat yang tepat serta bersedia dari aspek pengurusan, akademik dan pembentukan sahsiah sebelum memasuki alam persekolahan. Diharapkan segala perkongsian yang disampaikan menjadi panduan berguna kepada semua guru pelatih agar mereka dapat menjalankan amanah sebagai bakal pendidik dengan penuh dedikasi, beretika dan profesional, seterusnya meneruskan aspirasi UPSI dalam melahirkan guru berkualiti yang mampu menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan negara.