Oleh: Dr. Nor Afzalina Azmee, Dr. Nurul Hila Zainuddin, Dr. Nurul Huda Mohamed dan Auni Aqilah Harifin, Fakulti Sains dan Matematik
TANJONG MALIM, 25 April 2026 – Keupayaan mahasiswa dalam mengendalikan kajian tinjauan terus diperkukuh menerusi penganjuran Bengkel Kaedah Penyelidikan Pembangunan serta Kajian Tinjauan oleh Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Bengkel yang merupakan siri ketiga dalam Bengkel Projek Penyelidikan Tahun Akhir (FYP) ini telah berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 7, Kampus Sultan Azlan Shah dengan penyertaan seramai 184 pelajar daripada program AT14 dan AT48.
Menerusi bengkel bertajuk “Kaedah Penyelidikan Tinjauan”, Profesor Madya Dr. Mazlini binti Adnan telah berkongsi kepakaran dalam membimbing pelajar memahami reka bentuk kajian tinjauan yang sistematik serta berkesan. Sesi ini turut memberi penekanan kepada penggunaan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) sebagai alat utama dalam analisis data kajian sosial dan pendidikan.
Para peserta didedahkan dengan kaedah mentafsir data secara lebih tersusun dan tepat, sekali gus membantu mereka meningkatkan keupayaan dalam menghasilkan dapatan kajian yang lebih bermakna dan berkualiti. Pendedahan ini amat penting dalam memastikan pelajar bukan sahaja mampu mengumpul data, malah berupaya menganalisisnya secara kritis.
Selain itu, bengkel ini turut menyokong usaha memupuk budaya penyelidikan berasaskan bukti dalam kalangan mahasiswa, selaras dengan tuntutan dunia akademik masa kini yang menekankan ketepatan dan kesahan dapatan kajian.
Secara keseluruhannya, penganjuran bengkel ini dilihat berjaya memperkasakan kemahiran penyelidikan pelajar, khususnya dalam aspek kajian tinjauan dan analisis data, seterusnya melahirkan graduan yang lebih kompeten dan bersedia menghasilkan penyelidikan yang dengan inferensi signifikan dan berimpak tinggi.
