Oleh: Dr. Nor Afzalina Azmee, Dr. Nurul Hila Zainuddin, Dr. Nurul Huda Mohamed dan Auni Aqilah Harifin, Fakulti Sains dan Matematik
TANJONG MALIM, 25 April 2026 – Usaha memperkasa kemahiran penyelidikan dalam kalangan mahasiswa terus dipergiat apabila Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menganjurkan Bengkel Kaedah Penyelidikan Pembangunan serta Kajian Tinjauan.
Program ini merupakan siri kedua dalam Bengkel Projek Penyelidikan Tahun Akhir (FYP) yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 7, Kampus Sultan Azlan Shah, dengan penyertaan seramai 184 pelajar daripada program AT14 dan AT48.
Bengkel bertajuk “Kaedah Penyelidikan Pembangunan dan Pendidikan” ini dikendalikan oleh Dr. Mohd Shahridwan bin Ramli yang berkongsi kepakaran dalam membimbing pelajar memahami pemilihan reka bentuk kajian yang bersesuaian. Beliau turut memperkenalkan beberapa model reka bentuk instruksional (Instructional Design) seperti Model ADDIE, ASSURE dan Model Sidek yang sering digunakan dalam kajian pembangunan.


Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta didedahkan dengan langkah-langkah sistematik dalam menjalankan kajian pembangunan, bermula daripada fasa perancangan, pelaksanaan sehinggalah kepada penilaian keberkesanan. Pendekatan ini membantu pelajar membina asas yang kukuh dalam menghasilkan penyelidikan yang lebih tersusun dan berkualiti.
Lebih daripada itu, bengkel ini turut memberi penekanan kepada kepentingan amalan penyelidikan yang beretika serta berasaskan bukti, selaras dengan keperluan semasa dalam dunia akademik dan pendidikan.
Secara keseluruhannya, penganjuran bengkel ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman pelajar terhadap kaedah penyelidikan pembangunan, malah berperanan sebagai platform penting dalam melahirkan graduan yang kompeten, kritis dan bersedia melaksanakan projek ilmiah yang berimpak tinggi.
