Oleh:  Nurul Farhana Khairul Asraf & Amiratul Balqis All Ashari

TANJONG MALIM 26 April 2026 – Dalam lanskap dunia yang semakin didominasi oleh kepantasan maklumat dan visual digital, seni tidak lagi sekadar menjadi medium hiburan, tetapi berevolusi sebagai wahana intelektual yang berupaya mencabar pemikiran dan membentuk kesedaran masyarakat. Berangkat daripada kesedaran inilah, Intellect’Art Comic Challenge 2026 tampil sebagai sebuah inisiatif berani yang menggabungkan dimensi seni dan intelek dalam satu platform yang dinamik dan berimpak global.

Poster hebahan rasmi Intellect’art Comic Challenge 2026
Poster hebahan rasmi Intellect’art Comic Challenge 2026

Intellect’Art Comic Challenge 2026 merupakan sebuah pertandingan komik digital bertaraf antarabangsa yang berlangsung secara dalam talian bermula 16 Februari hingga 26 April 2026. Dianjurkan oleh Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), program ini telah menerima penyertaan yang memberangsangkan daripada pelbagai universiti awam dan swasta, institusi pendidikan serta penyertaan antarabangsa.

Program ini turut diperkukuh melalui jaringan kerjasama strategik bersama Universiti Multimedia (MMU) serta sokongan industri kreatif seperti Kadokawa Gempak Starz, XP-Pen dan Wacom Singapore, yang secara kolektif memperkukuh ekosistem pembangunan bakat kreatif negara.

Karya-karya peserta yang telah dimuatnaik di laman web Instagram sepanjang tempoh pertandingan berlangsung
Karya-karya peserta yang telah dimuatnaik di laman web Instagram sepanjang tempoh pertandingan berlangsung

Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK), Profesor Madya Ts. Dr Che Ghani Che Kob, menzahirkan pandangan bahawa program berasaskan kreativiti dan pemikiran kritis ini merupakan pendekatan signifikan dalam memperkasa penglibatan mahasiswa, khususnya dalam membina keyakinan diri serta keupayaan menyampaikan idea melalui medium alternatif yang lebih inklusif dan fleksibel.

Mahasiswa memiliki potensi intelektual dan kreativiti yang tinggi, namun tidak semua berpeluang menzahirkan idea melalui platform konvensional. Inisiatif ini memperkukuh usaha melahirkan mahasiswa holistik yang berani menyuarakan idea secara berkesan dan berimpak.” ujarnya.

3Barisan panel juri dan jawatankuasa pelaksana ketika sesi fotografi majlis penutup program yang berlangsung secara dalam talian.
Sesi ucapan oleh pengarah program, Amiratul Balqis binti All Ashari
Sesi ucapan perasmi majlis penutup program oleh Encik Mat Zamri, Felo UKLK

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan ini selari dengan aspirasi universiti dalam melahirkan mahasiswa holistik yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berdaya fikir tinggi dan berani menyumbang kepada masyarakat.

Dimensi intelektual program ini turut diperkukuh melalui penganjuran sesi bicara Intellect’Art Talk Series, yang menampilkan panel jemputan merangkap juri pertandingan. Menurut Dr. Suraya Md Nasir, kekuatan komik tidak hanya terletak pada visual semata-mata. “Komik yang berimpak ialah karya yang mampu menggabungkan estetika dengan kedalaman makna. Visual harus berfungsi sebagai bahasa yang menyampaikan emosi dan pemikiran, bukan sekadar hiasan” jelas beliau dalam sesi tersebut.

Seiring itu, Ts. Norzaful Anuwar Ahmad Najamuddin turut menegaskan kepentingan keseimbangan dalam penghasilan karya. “Sebuah komik yang baik perlu mempunyai keseimbangan antara visual, naratif dan mesej. Apabila ketiga-tiga elemen ini bersatu, barulah ia mampu meninggalkan kesan intelektual dan emosi yang mendalam kepada pembaca” katanya.

Sesi Bicara Intellect’art Talk Series : Eksplorasi Intelektual Mahasiswa Melalui Naratif Visual bersama panel juri
Karya-karya pemenang kategori A dan B Intellect’art Comic Challenge 2026
Karya-karya pemenang kategori A dan B Intellect’art Comic Challenge 2026

Lebih daripada sekadar pertandingan, Intellect’Art Comic Challenge 2026 menjadi platform untuk mengangkat seni komik sebagai agen pendidikan yang relevan dalam era digital, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4: Pendidikan Berkualiti) serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat, melalui jalinan kerjasama antara institusi tempatan dan antarabangsa.

Kejayaan penganjuran program ini membuktikan bahawa seni dan ilmu bukan dua dunia yang terpisah, sebaliknya mampu bergabung dalam membentuk generasi muda yang kreatif, kritis dan berdaya saing di peringkat global.

Dengan sambutan yang menggalakkan, program ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai satu inisiatif berterusan dalam memperkasa budaya ilmu mahasiswa melalui pendekatan yang lebih segar dan inovatif.