( Poster Festival Perpaduan Antarabangsa Kahs )( Poster Festival Perpaduan Antarabangsa Kahs )

Oleh : Nurin Alifah Ilyana & Dr Ahmad Saufiyyan Abu Hasan 

TANJUNG MALIM, 11 Mei – Festival Perpaduan Antarabangsa KAHS atau KAHS International  Unity Festival (KIUF 26’) yang berlangsung selama empat hari berjaya menarik perhatian  warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi pelbagai aktiviti menarik dan  berunsurkan perpaduan.

Festival yang diadakan bermula 30 April hingga 3 Mei di Pentas Utama Tapak Pesta Kolej  Aminuddin Baki, Kampus Sultan Azlan Shah itu dianjurkan bagi mengeratkan hubungan  antara mahasiswa tempatan dan antarabangsa di samping memupuk semangat perpaduan  dalam kalangan warga kampus.

Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang festival berlangsung antaranya kaunter pemeriksaan  kesihatan, gerai jualan, ceramah agama, sukaneka, pameran, persembahan artis, cabutan  bertuah dan zoo mini.

Menurut salah seorang ahli jawatankuasa program, Nur Syafiqah Ahmad, festival tersebut  mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelajar UPSI serta masyarakat  sekitar. “Program ini bukan sahaja menjadi platform hiburan kepada mahasiswa, malah  mampu mengeratkan hubungan antara pelajar daripada pelbagai latar belakang budaya dan  negara,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung festival, Muhammad Amirul Hakim, berkata penganjuran  KIUF 26’ memberi pengalaman yang menarik kerana terdapat pelbagai aktiviti yang sesuai  disertai oleh semua lapisan pelajar. “Saya sangat seronok datang ke festival ini kerana  suasananya meriah dan banyak aktiviti yang menarik seperti persembahan artis dan  sukaneka,” ujarnya.

Festival tersebut turut dilihat berjaya memupuk nilai kerjasama dan semangat komuniti dalam  kalangan mahasiswa selaras dengan usaha UPSI melahirkan pelajar yang aktif serta  berketerampilan dalam pelbagai bidang.