Oleh: Mohamad Faiz Iqmal bin Mohtar

Tanjong Malim, 12 Mei 2026 – Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (KAHS) telah menganjurkan Bengkel Stand-Up Comedy “Lawak Berisi, Akal Ketawa” bagi memperkasa seni humor sebagai medium komunikasi kreatif dan pembangunan sahsiah mahasiswa.

Program ini menampilkan pelawak dan penggiat seni kreatif terkenal, Hilmy Ashley sebagai penceramah utama yang berkongsi ilmu berkaitan teknik penyampaian komedi, pengucapan awam, kawalan pentas serta pembinaan keyakinan diri. Bengkel ini turut dihadiri oleh Profesor Dr. Mohd Hassan bin Abdullah.

Selain memberi pendedahan kepada dunia stand-up comedy moden, program ini turut mengetengahkan seni lawak sebagai sebahagian daripada warisan budaya Melayu yang kaya dengan unsur sindiran halus, bahasa kiasan dan komunikasi beradab.

Pendekatan santai namun berilmiah berjaya menarik minat peserta serta membuka perspektif baharu bahawa humor juga mampu menjadi medium pendidikan, perpaduan dan penyampaian mesej sosial.

Melalui aktiviti interaktif yang dijalankan, peserta turut meningkatkan kemahiran komunikasi, kreativiti, pemikiran kritis dan keberanian berhadapan khalayak ramai. Kemahiran tersebut dilihat mampu membantu mahasiswa dalam pembentangan akademik, kepimpinan serta persediaan menghadapi dunia pekerjaan.

Penganjuran bengkel ini membuktikan bahawa seni lawak bukan sekadar hiburan, malah mampu menjadi platform pembangunan mahasiswa yang kreatif, berkeyakinan tinggi dan menghargai nilai warisan budaya.