Oleh: Fazrinatasyah Faizal
Tanjong Malim, 18 Mei 2026 – FUSION: E-Sport Tournament telah berlangsung dengan meriah selama dua hari di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program anjuran Exco Inisiatif Sukan, Rekreasi dan Kecergasan, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 2025/2026 ini menghimpunkan mahasiswa UPSI dalam arena e-sukan menerusi pertandingan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan PUBG Mobile. Penganjuran program ini bertujuan mencungkil bakat mahasiswa di samping memupuk semangat kesukanan dan daya saing dalam dunia e-sukan.

Pertandingan MLBB yang dijalankan secara dalam talian mendapat penyertaan mahasiswa daripada pelbagai kolej kediaman dan fakulti. Para peserta mempamerkan kemahiran strategi, komunikasi berpasukan dan kecekapan membuat keputusan sepanjang pertandingan berlangsung. Pertandingan ini turut membuktikan bahawa e-sukan mampu membentuk kemahiran kepimpinan dan pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa.
Selain itu, pertandingan PUBG Mobile turut berlangsung dengan penuh sengit dan kompetitif. Para peserta menunjukkan komitmen serta semangat kerjasama yang tinggi dalam setiap perlawanan. Program ini secara tidak langsung memberi ruang kepada mahasiswa untuk mengembangkan bakat dan potensi dalam arena e-sukan yang semakin berkembang.

Majlis penutupan program telah dirasmikan oleh ChM. Dr. Mohamad Saufi Rosmi, Pengerusi Majlis Felo Kolej-Kolej Kediaman. Beliau menyatakan bahawa perkembangan industri e-sukan pada masa kini membuka banyak peluang kepada generasi muda untuk menyerlahkan bakat dan potensi diri secara positif. “E-sukan bukan lagi sekadar hiburan semata-mata, tetapi telah berkembang menjadi satu bidang yang mampu membentuk disiplin, pemikiran strategik dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan mahasiswa”.
Majlis turut diserikan dengan sesi forum bersama Makdi, atlet e-sukan yang membawakan topik “Anak Muda dan E-Sport – Hobi atau Kerjaya?”. Perkongsian tersebut membuka perspektif mahasiswa mengenai peluang kerjaya dalam industri e-sukan dan penciptaan kandungan digital.

Pihak penganjur turut memberikan pengiktirafan kepada para pemenang bagi kategori MLBB dan PUBG Mobile. Turut diadakan penyampaian cenderahati kepada panel jemputan, rakan kolaborasi serta pihak penaja iaitu U Mobile dan Kelab E-Sukan UPSI yang telah memberi sokongan sepanjang program berlangsung.

FUSION: E-Sport Tournament berjaya mencapai objektif penganjuran dalam memperkasakan budaya e-sukan yang sihat dan kompetitif dalam kalangan mahasiswa UPSI. Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa, malah menjadi platform melahirkan bakat baharu dalam arena e-sukan.
