Gambar kenangan yang diambil bersama barisan majlis mahasiswa, felo, pentadbiran, pengetua dan Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof. Dr. Norkhalidbin Nordin.Gambar kenangan yang diambil bersama barisan majlis mahasiswa, felo, pentadbiran, pengetua dan Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof. Dr. Norkhalidbin Nordin.

Ditulis oleh Danish Fasihah binti Azri

Tanjong Malim, 5 April 2026 – Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (KAHS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Program Gema Syawal KAHS 2026 yang berlangsung dengan penuh meriah dan harmoni. Program ini dianjurkan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penghuni kolej dan pihak pengurusan Kolej Awang Had Salleh di samping memupuk semangat perpaduan dalam kalangan warga kolej melalui sambutan Aidilfitri yang penuh bermakna.

Program ini turut menjadi platform untuk menggalakkan komunikasi yang berkesan, mengukuhkan kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan dalam kalangan ahli jawatankuasa penganjur. Selain itu, penganjuran program ini juga memberi peluang kepada para mahasiswa untuk mengasah kemahiran sosial, meningkatkan rasa tanggungjawab serta menerapkan nilai-nilai murni seperti kerjasama, hormat-menghormati dan semangat kekitaan dalam kalangan penghuni KAHS. Kemuncak program menyaksikan jamuan raya yang menyediakan makanan kepada kira-kira 3,000 orang penghuni kolej, sekali gus menjadikan program ini antara sambutan Aidilfitri terbesar yang pernah dianjurkan oleh Kolej Awang Had Salleh. Pelbagai juadah istimewa disediakan bagi meraikan penghuni kolej yang tidak dapat pulang beraya bersama keluarga serta memberikan suasana Aidilfitri yang meriah kepada seluruh warga KAHS.

suasana sebenar di kawasan kabin Kolej Awang Had Salleh dengan kehadiran seluruh penghuni.
suasana sebenar di kawasan kabin Kolej Awang Had Salleh dengan kehadiran seluruh penghuni.
Perasmi, Prof. Dr. Norkhalid bin Ismail, Timbalan Naib Canselor HEPA menyampaikan ucapan perasmian.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Norkhalid bin Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPSI. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan rasa bangga dan tahniah kepada pihak pengurusan serta Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh atas kejayaan menganjurkan program yang julung-julung kali diadakan pada skala yang begitu besar.

Beliau turut menyatakan bahawa program seperti ini bukan sahaja menjadi medium meraikan Aidilfitri, malah berperanan sebagai wadah penting dalam memperkukuhkan ukhuwah dan semangat kekeluargaan dalam kalangan mahasiswa. Menurut beliau, suasana kebersamaan yang terjalin melalui program sebegini mampu membentuk komuniti kolej yang lebih harmoni, saling menyokong dan sentiasa mengamalkan nilai perpaduan dalam kehidupan seharian.

Aktiviti rewang yang dijalankan di Dapur Siswa Madani dan Kediaman Pengetua Kolej Awang Had Salleh.
Aktiviti rewang yang dijalankan di Dapur Siswa Madani dan Kediaman Pengetua Kolej Awang Had Salleh.
pemenang bagi pertandingan POV syawal.

“Sambutan Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi medan untuk memperkukuhkan ukhuwah dan membina hubungan yang lebih erat antara mahasiswa, pengurusan kolej serta seluruh warga universiti. Saya berharap semangat kebersamaan yang dipupuk melalui Gema Syawal KAHS 2026 akan terus subur dan menjadi budaya dalam kalangan penghuni kolej,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengetua Kolej Awang Had Salleh, Dr. Mardiana binti Ismail, dalam ucapannya menyatakan rasa syukur atas kejayaan program yang mendapat sambutan luar biasa daripada warga kolej. Beliau menjelaskan bahawa walaupun KAHS tidak mempunyai dewan atau kawasan perhimpunan yang besar seperti kolej-kolej lain, namun dengan komitmen tinggi daripada ahli jawatankuasa dan kerjasama penghuni kolej, program ini berjaya direalisasikan dan mampu menyediakan jamuan kepada lebih 3,000 orang.

Persembahan tarian Jodoh Lebaran yang dibawakan istimewa dari penghuni Kolej Awang Had Salleh
Prof. Dr. Norkhalid sedang menghidangkan juadah mi goreng kepada para penghuni yang hadir.

Sebagai persediaan program, aktiviti rewang telah diadakan sejak sebelah pagi hingga petang dengan penglibatan ahli Majlis Mahasiswa Kolej serta rakan-rakan exco yang berganding bahu menyediakan pelbagai juadah seperti roti telur, mi goreng dan bihun goreng. Aktiviti tersebut bukan sahaja mempercepatkan urusan penyediaan makanan, malah berjaya mengukuhkan semangat kerjasama dan saling membantu dalam kalangan mahasiswa.

Bagi memeriahkan lagi sambutan, dua pertandingan secara dalam talian telah dianjurkan iaitu POV Syawal, pertandingan penghasilan video vlog bertemakan Aidilfitri, serta Lensa Syawal, pertandingan fotografi yang memaparkan momen istimewa bersama keluarga ketika menyambut Hari Raya. Kedua-dua pertandingan ini berjaya mencungkil kreativiti peserta serta memberi ruang kepada mereka untuk berkongsi pengalaman dan kenangan Aidilfitri melalui medium digital

Selain itu, para pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang program berlangsung seperti Photobooth Raya, persembahan tarian Jodoh Lebaran, serta persembahan nyanyian yang berjaya menceriakan suasana dan menarik kehadiran ramai penghuni kolej.

Penganjuran Gema Syawal KAHS 2026 memberikan pelbagai impak positif kepada warga kolej. Antaranya ialah pengukuhan hubungan silaturahim antara penghuni kolej dan pihak pengurusan, peningkatan kemahiran komunikasi serta kepimpinan dalam kalangan ahli jawatankuasa, dan pembentukan budaya kerja berpasukan yang lebih mantap. Program ini juga berjaya menyemai nilai murni seperti tanggungjawab, toleransi dan semangat sukarelawan dalam diri mahasiswa.

Secara keseluruhannya, Program Gema Syawal KAHS 2026 telah mencapai objektif penganjurannya dengan jayanya serta membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan kerjasama yang tinggi mampu menjayakan program berskala besar. Diharapkan program ini akan terus menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan dan menjadi simbol perpaduan serta keharmonian warga Kolej Awang Had Salleh pada masa hadapan.