Oleh: Nur Ayani Fathiah dan Muhammad Ramli
TANJONG MALIM, 6 Jun – Program MANIA’26: Battle, Beat & Business Peringkat Kebangsaan berjaya menjadi platform yang menghimpunkan mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), komuniti belia, usahawan tempatan serta orang awam dalam usaha memperkukuh budaya keusahawanan dan pembangunan bakat generasi muda.
Program anjuran Exco Ekonomi dan Keusahawanan Majlis Mahasiswa Aminurrashid (MAVA) Sesi 2025/2026 itu berjaya menarik kira-kira 500 orang pengunjung sepanjang penganjurannya di Dewan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama strategik Warung Miah Western & Thai dan MUA Muallim, serta mendapat sokongan penajaan daripada Lensa Mawar, sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, industri dan komuniti.



Program MANIA’26 ini terbuka kepada penyertaan mahasiswa IPTA/IPTS, komuniti belia, usahawan tempatan dan orang awam dari pelbagai lokasi di Malaysia melalui pelbagai aktiviti berteraskan keusahawanan, kreativiti, hiburan dan pembangunan bakat yang menjadikannya sebagai sebuah platform yang menghimpunkan peserta daripada pelbagai institusi dan latar belakang dalam satu program berimpak tinggi. Penyertaan daripada institusi luar seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, UiTM Kampus Sungai Buloh dan Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) turut mengukuhkan status penganjurannya sebagai program peringkat kebangsaan.
Bertepatan dengan tema “Battle, Beat & Business”, MANIA’26 mengetengahkan pendekatan yang menggabungkan elemen kreativiti, hiburan dan keusahawanan dalam satu platform pembangunan mahasiswa yang holistik. Keunikan program ini terletak pada penglibatan usahawan tempatan, vendor mahasiswa, pemain industri kreatif dan komuniti luar yang bersama-sama menjayakan pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung.



Melalui penglibatan rakan kolaborasi dan usahawan tempatan, peserta bukan sahaja berpeluang menyertai pertandingan, malah memperoleh pendedahan kepada aspek pengurusan perniagaan, pemasaran produk, pembangunan jenama, penjanaan pendapatan, komunikasi profesional serta pembinaan jaringan industri. Pendekatan ini selaras dengan usaha melahirkan graduan yang mempunyai pemikiran keusahawanan, kreatif, inovatif dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.
Sepanjang program berlangsung, para peserta dan pengunjung disajikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk 24 reruai jualan yang dikendalikan oleh usahawan mahasiswa dan vendor tempatan, pertandingan Face Off: Make-Up Battle, Gone In Seconds: Fastest Eating Challenge, Chicken Dinner Showdown E-Sport Tournament, Battle of the Band, majlis perasmian rasmi serta sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang.


Program dimulakan dengan pertandingan Face Off: Make-Up Battle yang menerima penyertaan seramai 19 peserta terdiri daripada mahasiswa institusi pengajian tinggi yang mengambil bahagian dalam MANIA’26. Pertandingan bertemakan Aegyo itu menjadi platform kepada peserta untuk mengetengahkan kreativiti, kemahiran teknikal dan bakat dalam bidang kecantikan serta solekan profesional.
Pertandingan tersebut telah diadili oleh Aisya Zailani, jurusolek profesional dari Perak yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga Tahap 3 dalam Terapi Kecantikan (Aesthetician). Kehadiran beliau memberi nilai tambah kepada pertandingan selain membuka ruang perkongsian ilmu mengenai peluang kerjaya dan keusahawanan dalam industri kecantikan yang semakin berkembang.
Pertandingan tersebut turut mendapat sokongan daripada MUA Muallim sebagai rakan kolaborasi industri dalam bidang kecantikan dan solekan profesional. Kerjasama ini bukan sahaja membantu memperkaya pengalaman peserta, malah memberi pendedahan kepada mereka mengenai peluang kerjaya dan keusahawanan dalam industri kecantikan yang semakin berkembang dan mempunyai permintaan tinggi di Malaysia.
Pertandingan Gone In Seconds: Fastest Eating Challenge pula menerima penyertaan seramai 28 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa IPTA dan IPTS. Aktiviti yang berlangsung dalam suasana santai dan kompetitif itu berjaya menarik perhatian para pengunjung yang hadir sepanjang program berlangsung.
Pertandingan ini turut mendapat sentuhan istimewa apabila cabaran makanan yang digunakan ialah ‘Giant Burger’ khas daripada Warung Miah Western & Thai, sekali gus menambah daya tarikan dan keunikan kepada aktiviti tersebut.
Pertandingan tersebut turut dilaksanakan dengan kerjasama Warung Miah Western & Thai, sebuah perniagaan tempatan yang diasaskan oleh Miah Anson binti Abdul Hadi. Kolaborasi bersama usahawan tempatan ini mencerminkan komitmen penganjur dalam memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan komuniti perniagaan di samping memberi pendedahan kepada peserta mengenai potensi bidang makanan dan minuman sebagai salah satu cabang keusahawanan yang berdaya maju.
Bagi pertandingan ini, wakil daripada Warung Miah Western & Thai turut dijemput sebagai panel jemputan bagi memeriahkan aktiviti serta berkongsi pengalaman dalam bidang keusahawanan makanan dan minuman.
Majlis perasmian rasmi program telah disempurnakan oleh Puan Norrulkamari Binti Daud, selaku Felo Penasihat Program MANIA’26: Battle, Beat & Business yang dalam ucapannya menekankan kepentingan membudayakan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa serta menggalakkan golongan muda untuk meneroka peluang kerjaya dan perniagaan sejak di bangku pengajian.


Beliau turut menyifatkan program seperti MANIA’26 sebagai platform penting dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kemahiran insaniah, daya kreativiti dan pemikiran keusahawanan yang selaras dengan keperluan industri masa kini.
Sesi petang diteruskan dengan Chicken Dinner Showdown E-Sport Tournament yang berjaya menghimpunkan 16 pasukan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi dan komuniti e-sukan. Antaranya pasukan yang mengambil bahagian ialah ANTI CIRCLE, PEGAWAI UPSI, KEPADUAN, ANAK SOLEH, TEAM FLUSH, RIFT PRIME, KINGMALO ESPORT, MAJU AJALAH, TK ESPORT dan sebagainya.
Menariknya, pertandingan ini turut dibuka secara penyertaan dalam talian (online), di samping penyertaan secara fizikal di lokasi program, sekali gus memperluaskan lagi capaian serta penyertaan daripada komuniti e-sukan di seluruh negara.
Pertandingan tersebut turut melibatkan penyertaan mahasiswa daripada institusi luar seperti UiTM Shah Alam, sekali gus memperlihatkan sambutan yang memberangsangkan daripada peserta luar UPSI. Selain menguji kemahiran permainan digital, pertandingan ini turut menekankan aspek kepimpinan, strategi, komunikasi dan kerja berpasukan yang menjadi elemen penting dalam pembangunan modal insan serta industri e-sukan yang semakin berkembang di negara ini.
Sebagai acara kemuncak program, pertandingan Battle of the Band berjaya menarik penyertaan daripada 5 kumpulan muzik yang terdiri daripada mahasiswa IPTA/IPTS dan orang awam. Penyertaan melibatkan wakil daripada UiTM, UiTM Kampus Sungai Buloh, UniKL MIMET serta komuniti muzik tempatan.
Sambutan yang diterima membuktikan bahawa platform seperti Battle of the Band terus relevan sebagai medium mencungkil bakat seni dan kreativiti dalam kalangan generasi muda. Selain mengetengahkan kebolehan muzik dan persembahan pentas, pertandingan ini turut membuka ruang kepada peserta untuk meneroka potensi dalam industri kreatif yang mempunyai nilai komersial dan keusahawanan yang tinggi.
Pertandingan tersebut telah diadili oleh Anissabri Alaihi bin Malek, pengasas Tita Studio, bersama Syed Ammar Uzair bin Syed Akma. Para peserta dinilai berdasarkan aspek vokal, kreativiti persembahan, penguasaan pentas, susunan muzik dan keserasian kumpulan.
Menurut Pengarah Program, Puteri Marsya Farzana binti Muhammad Farouq Ragubathy, kejayaan MANIA’26 membuktikan bahawa program berteraskan keusahawanan mampu digabungkan secara kreatif dengan elemen seni, hiburan dan teknologi bagi menarik penglibatan generasi muda daripada pelbagai latar belakang.
Beliau berkata program tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta pertandingan, malah menyediakan pengalaman secara langsung kepada mahasiswa dalam aspek pengurusan program, pemasaran, penajaan, perhubungan awam, pengurusan kewangan dan pembangunan jaringan profesional yang merupakan antara komponen penting dalam dunia keusahawanan.
Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori pertandingan sebelum sesi fotografi bersama panel jemputan, rakan kolaborasi dan jawatankuasa pelaksana.
Bagi kategori Face Off: Make-Up Battle, tempat pertama dimenangi oleh Beby Anafatiah Binti Amir manakala kategori Gone In Seconds: Fastest Eating Challenge dimenangi oleh Nazrul Afiq Bin Roslan. .
Bagi Chicken Dinner Showdown E-Sport Tournament pula, gelaran juara menjadi milik pasukan TEAM FLUSH, sementara pertandingan Battle of the Band dimenangi oleh kumpulan PHASE IV.
Para pemenang membawa pulang hadiah berupa wang tunai, sijil penghargaan dan hadiah iringan yang disampaikan oleh tetamu kehormat serta wakil rakan kolaborasi program.
Secara keseluruhannya, MANIA’26 berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam memperkukuh budaya keusahawanan, mengembangkan potensi belia dalam bidang kreatif dan e-sukan serta memperluaskan jaringan kolaborasi antara institusi pendidikan, industri dan komuniti. Kehadiran kira-kira 500 pengunjung sepanjang program berlangsung membuktikan bahawa pendekatan yang menggabungkan elemen Battle, Beat & Business berjaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.
Lebih daripada sekadar platform pertandingan, MANIA’26 telah menjadi medan pembangunan bakat, pemerkasaan keusahawanan dan pengukuhan jaringan antara institusi pendidikan, industri dan komuniti. Penyertaan mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi termasuk UPSI, UiTM Shah Alam, UiTM Kampus Sungai Buloh dan UniKL MIMET bersama penglibatan komuniti luar membuktikan bahawa program ini berjaya mencapai aspirasinya sebagai sebuah program berimpak tinggi yang menyatukan elemen pendidikan, kreativiti dan keusahawanan dalam satu platform yang komprehensif
