Oleh: Amiera Batrisyia Azmi
TANJONG MALIM — Seramai 228 orang pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai Program Kem Bina Insan Bitara (BIB) Sesi 4 yang berlangsung selama empat hari, bermula 8 hingga 11 Jun 2025 di UPSI Adventure Park (UAP).
Program tahunan ini melibatkan penyertaan pelajar daripada tiga program pengajian, iaitu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Bahasa Etnik, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Sosial (ISMKS) dan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Pendidikan (ISMBAP). Kehadiran yang memberangsangkan jelas menunjukkan kesungguhan para pelajar untuk mengembangkan potensi diri serta menimba pengalaman baharu di luar suasana pembelajaran di bilik kuliah.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Dr. Mohd Amir bin Mohd Zahari, yang turut menyampaikan kata-kata semangat kepada para peserta. Kemudian, slot istimewa “Oh My Faculty”menjadi antara pengisian yang paling dinantikan apabila Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Profesor Madya Dr. Mazura @ Mastura binti Muhammad, hadir berkongsi mengenai hala tuju dan aspirasi fakulti. Slot tersebut turut memberi peluang kepada para pelajar untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan pihak pengurusan tertinggi fakulti serta mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan pengajian dan masa depan mereka.

Sepanjang empat hari kem berlangsung, para peserta disajikan dengan pelbagai aktiviti yang mencabar ketahanan fizikal dan mental. Antaranya termasuk cabaran halangan (obstacle challenge) dan explorace yang menguji keupayaan peserta berfikir secara kritis, membuat keputusan dengan pantas serta bekerjasama dalam satu pasukan bagi menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan.
Tidak ketinggalan, aktiviti “Serlahkan Bakat” turut mencuri perhatian dan menjadi antara slot paling meriah sepanjang program berlangsung. Para peserta dibahagikan kepada 15 kumpulan dan setiap kumpulan diminta mempersembahkan persembahan kreatif menggunakan dialek negeri yang berbeza. Gelak tawa dan sorakan memenuhi dewan apabila setiap kumpulan tampil dengan idea dan persembahan yang unik. Aktiviti ini bukan sahaja menyerlahkan bakat dan kreativiti para peserta, malah turut memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dan bahasa yang menjadi keistimewaan masyarakat Malaysia.
Secara keseluruhannya, aktiviti yang dirancang dalam Kem Bina Insan Bitara Sesi 4 bukan sekadar menguji ketahanan diri, malah berjaya membina semangat kerjasama, meningkatkan keyakinan diri serta mengeratkan hubungan persahabatan dalam kalangan pelajar daripada pelbagai kursus dan latar belakang. Bagi ramai peserta, kem ini menjadi platform untuk keluar daripada zon selesa, mengenali diri sendiri dan membina kenangan bersama rakan-rakan baharu.
Penganjuran Kem BIB Sesi 4 sekali lagi membuktikan bahawa program pembangunan sahsiah seperti ini memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik, kepimpinan dan kemahiran insaniah. Pengalaman serta nilai yang dipelajari sepanjang empat hari tersebut pastinya akan menjadi bekalan berharga buat para peserta dalam meneruskan perjalanan sebagai mahasiswa dan bakal pemimpin pada masa hadapan.
