Oleh: Nurul Wahiedah binti Sarif

DUNGUN, 6 Jun – Delegasi mahasiswa daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuktikan kecekalan fizikal dan jati diri yang tinggi apabila berjaya menamatkan ekspedisi berkayak sejauh 36 kilometer dalam Program Kayak Jejak Warisan 2026 yang berlangsung dari 4 hingga 6 Jun lalu.

Program berimpak tinggi selama tiga hari dua malam di Dungun, Terengganu ini melibatkan penyertaan seramai 36 peserta daripada pelbagai Universiti Awam (UA), termasuk komitmen jitu mahasiswa UPSI, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), serta penglibatan aktif komuniti luar. Delegasi UPSI terdiri daripada 10 orang peserta bersama tenaga pengajar, Ahmad Aqil bin Mohamad Jahizi dan Muhammad Sufi Asyraf bin Ayazed.

Majlis perasmian dan pelepasan Program Kayak Jejak Warisan 2026 telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), YBhg. Dato’ Dr. Haji Din bin Adam bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniSZA, YBhg. Dato’ Prof. Madya Dr. Mohd Hafiz Yusoff.

Sepanjang ekspedisi mencabar tersebut, para peserta telah berkayak merentasi Sungai Dungun sejauh 36 kilometer. Laluan air ini bermula dari Dataran Kejat Pasir Raja, melalui kawasan persinggahan di Kampung Jongok Batu, dan berakhir di Taman Rekreasi Kuala Jengal. Pengalaman menyusuri sungai ini bukan sahaja menguji daya ketahanan mental dan fizikal para mahasiswa, malah menyuburkan kecintaan mereka terhadap khazanah warisan sejarah serta keindahan ekosistem alam semula jadi tempatan.

Selain menguji keupayaan sukan air, delegasi UPSI bersama rakan mahasiswa lain turut menghayati nilai kepimpinan dan kesukarelawanan menerusi pelbagai pengisian khidmat komuniti. Antara aktiviti utama pada hari pertama adalah kempen Recycle4Life yang memfokuskan kepada kesedaran amalan kitar semula, serta kembara penghayatan sejarah menerusi lawatan warisan ke Kubu Mat Kilau dan Bumbung Raja. Pada sebelah malam hari kedua, majlis barbeku (BBQ) diadakan bagi merapatkan ikatan ukhuwah dalam kalangan peserta. Sebelum meneruskan kayuhan dari checkpoint SK Jongok Batu menuju ke destinasi akhir di Kuala Jengal pada keesokan harinya, para peserta diberikan taklimat keselamatan yang komprehensif.

Pada hari ketiga, suasana di Taman Rekreasi Kuala Jengal dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Antara pengisian yang memberi impak ialah khidmat pemeriksaan kesihatan percuma oleh Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) serta penyerahan 30 unit Bakul Kasih Madani kepada golongan yang memerlukan bagi meringankan beban mereka. Ikatan ukhuwah antara mahasiswa UA dan penduduk kampung turut diperkukuhkan menerusi penganjuran sukan rakyat, sesi perkongsian ilmiah bersama Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) serta Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), dan aktiviti penanaman pokok sebagai simbolik pemeliharaan alam sekitar.

Program Kayak Jejak Warisan 2026 diakhiri dengan Majlis Penutupan Rasmi yang disempurnakan oleh Pengarah PPHP UniSZA, YBrs. Kapt. Dr. Akila bin Mamat. Majlis tersebut diserikan dengan upacara penyampaian sijil kepada wakil-wakil UA sebagai tanda penghargaan atas semangat kebersamaan, diikuti dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang aktiviti. Penglibatan aktif mahasiswa UPSI dalam program berskala nasional ini bukan sahaja menonjolkan keupayaan mereka dalam aktiviti luar yang mencabar, malah mencerminkan kesediaan warga bitara UPSI untuk memimpin, menyumbang bakti, serta membawa impak sosial yang positif demi kesejahteraan masyarakat setempat.

By shira