Oleh: Ts. Dr. Salman Firdaus bin Sidek, Muhammad Auzaie bin Amir Zakir, Khairul Ikhwan bin Mat Yunus, Nursyahirah binti Ismail, Nur Haniza binti Azman, Wan Adleen Zulaikha binti Azeem Azwadi, Natasha Alia binti Sharudin
Alor Setar, 8 Jun 2026 — Program SULAM CoM@SPro’25 v2.0 telah dijayakan oleh 39 orang pelajar minor dan major dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengikuti kursus DTN3013 Senibina dan Organisasi Komputer pada semester A252.
Pelaksanaan program yang diselia oleh pensyarah kursus, Ts. Dr. Salman Firdaus bin Sidek melibatkan kerjasama erat antara mahasiswa FKMT dengan komuniti sasaran yang terdiri dari 80 orang pelajar sijil dan diploma dalam bidang Teknologi Maklumat dari Kolej Vokasional Alor Setar (KVAS), Kedah.
Program SULAM CoM@SPro’25 v2.0 telah mengaplikasi pendekatan pembelajaran perkhidmatan (service learning) dalam memperkasa penggunaan perkakasan komputer yang turut melibatkan pengurusan sisa elektronik (e-waste), selari dengan Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) 12: Penggunaan dan Pengeluaran Yang Bertanggungjawab.


Kandungan program SULAM CoM@SPro’25 v2.0 yang berfokus kepada meningkatkan pengetahuan dan kemahiran komuniti sasaran dalam aspek seni bina dan organisasi komputer turut merangkumi pengenalan kepada sistem nombor dan perwakilan data, kemahiran penyelenggaraan perkakasan komputer secara hands-on dan pengurusan sisa elektronik.
Kandungan program disampaikan menerusi pembelajaran aktif melibatkan aktiviti berkumpulan seperti Learning Computer Without Using Computer dan demonstrasi pemasangan Dr. Computer yang melibatkan modul yang dibangunkan sendiri oleh mahasiswa FKMT, ‘Save Our Earth’ Awareness Talk, aktiviti bermain permainan fizikal ShadowByte dan permainan perisian e-Waste Arcade yang juga dibangunkan sendiri oleh mahasiswa FKMT dan diakhiri dengan pertandingan Pemasangan Komputer antara komuniti sasaran yang dijurikan oleh tiga orang pakar dari FKMT dan KVAS .
Menurut pihak penganjur, pelaksanaan Program SULAM CoM@SPro’25 v2.0 telah memberi impak positif kepada komuniti sasaran apabila mereka menunjukkan peningkatan dari aspek pengetahuan berkaitan teknologi komputer, kemahiran teknikal serta kesedaran terhadap isu pengurusan sisa elektronik.
Pendekatan yang menggabungkan pelbagai aktiviti pembelajaran aktif telah menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan serta mudah difahami oleh komuniti sasaran daripada pelbagai peringkat pengajian.
Selain memberi manfaat kepada komuniti, program ini turut membantu mahasiswa UPSI mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, kreativiti, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah.
Pengalaman berinteraksi secara langsung dengan komuniti membolehkan mereka memahami keperluan masyarakat serta meningkatkan keyakinan diri sebagai bakal pendidik dan profesional dalam bidang teknologi pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, Program SULAM CoM@SPro’25 V.2 berjaya mencapai objektifnya dalam memperkasakan literasi teknologi serta menyemai kesedaran terhadap amalan penggunaan teknologi yang bertanggungjawab dan lestari.
Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memperkukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti, di samping melahirkan generasi yang celik teknologi, berkemahiran dan peka terhadap kelestarian alam sekitar.
