Oleh: Nur Amalin Izzah Zaharruddin

Tanjong Malim, 21 Jun 2026 – Persatuan Mahasiswa Teknologi Kejuruteraan (PERMATEK), Fakulti Teknikal &  Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya  menganjurkan Program UPSI Barber Battle di Dewan SITC, UPSI. Program yang  berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari ini merupakan inisiatif Exco  Ekonomi dan Keusahawanan PERMATEK sidang 2025/2026 dan kalobarasi bersama  Barberbus bagi memupuk keyakinan diri, disiplin serta meningkatkan daya saing yang  sihat dalam kalangan peserta.

Aktiviti program dimulakan dengan taklimat tentang syarat dan peraturan  pertandingan potong rambut kepada para peserta. Pertandingan barber kemudiannya  dijalankan mengikut kategori yang telah ditetapkan dengan penyertaan 12 peserta  daripada pelbagai latar belakang. Para peserta menunjukkan kemahiran, kreativiti dan  komitmen yang tinggi sepanjang pertandingan berlangsung. Setiap peserta  mempamerkan teknik guntingan, kemasan serta gaya potongan yang kemas dan  menarik mengikut tema yang ditetapkan. Pertandingan ini turut menyerlahkan bakat  peserta dalam menghasilkan potongan rambut yang berkualiti serta memenuhi  kehendak pelanggan dan penilaian juri.

Poster pendaftaran dan maklumat program

Aktiviti program diakhiri dengan ketibaan Penasihat PERMATEK yang turut  memeriahkan majlis penutupan program. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan  daripada pengacara majlis, nyanyian lagu Negaraku dan lagu Negeri Perak, diikuti  dengan bacaan doa. Seterusnya, Penasihat PERMATEK menyampaikan ucapan  yang menekankan kepentingan mengasah kemahiran, kreativiti dan sikap profesional  dalam bidang barbering sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan pada masa  hadapan.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian saguhati kepada para juri  sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan komitmen mereka sepanjang  pertandingan berlangsung. Seterusnya, hadiah disampaikan kepada para pemenang  pertandingan barber mengikut kategori yang telah ditetapkan. Program diakhiri  dengan sesi fotografi bersama para peserta, juri, urus setia dan tetamu jemputan  sebagai kenang-kenangan.

Secara keseluruhannya, Program Pertandingan Barber 2026 telah berjaya mencapai  objektif yang ditetapkan serta menjadi platform yang berkesan dalam mencungkil  bakat, meningkatkan kemahiran dan memupuk kreativiti peserta dalam bidang  dandanan rambut. Selain itu, program ini turut mengeratkan hubungan silaturahim,  meningkatkan keyakinan diri peserta serta memberi pendedahan kepada mereka  mengenai standard dan etika profesional dalam industri barbering.

Kesimpulannya, Program Pertandingan Barber 2026 telah berjaya mencapai objektif  yang ditetapkan dengan menggabungkan elemen kemahiran, kreativiti dan  pembangunan bakat dalam satu platform yang bermanfaat. Pertandingan yang  dianjurkan bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk mempamerkan dan  meningkatkan kemahiran dalam bidang dandanan rambut, malah turut menjadi  medium untuk menggalakkan perkongsian ilmu serta pengalaman antara peserta.

Program ini juga berjaya mewujudkan suasana yang positif dan kompetitif melalui  persaingan yang sihat, sekali gus meningkatkan keyakinan diri serta semangat  profesionalisme dalam kalangan peserta. Selain itu, penglibatan para juri, urus setia  dan tetamu jemputan telah menyumbang kepada kelancaran program serta  mengeratkan hubungan silaturahim antara semua pihak yang terlibat.

Juri menilai hasil guntingan peserta
Sesi fotografi bersama pemenang

Oleh itu, program seumpama ini wajar diteruskan pada masa hadapan bagi  mencungkil lebih ramai bakat baharu, meningkatkan kemahiran peserta serta  memberi pendedahan yang lebih luas terhadap peluang dan perkembangan dalam  industri barbering. Program ini juga berpotensi menjadi platform yang berkesan dalam  melahirkan individu yang berkemahiran, kreatif dan berdaya saing.