Oleh: Muhammad Syameer Qusairie bin Shuhani
Kuala Kangsar, Perak, 27 Jun 2026 – Seramai 30 orang mahasiswa daripada Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKJ), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah peribadi apabila berjaya menamatkan ekspedisi berkayak sejauh 40 kilometer menyusuri arus Sungai Perak dalam tempoh kurang daripada lima jam. Selain menguji ketahanan fizikal dan mental, program berimpak tinggi ini turut menyaksikan kesemua peserta menduduki penilaian penting bagi Kursus Persijilan Pendidikan Kanu Kebangsaan (Anugerah Bintang Satu).
Ekspedisi yang berlangsung pada 26 hingga 27 Jun 2026 ini telah diketuai secara langsung oleh pensyarah pembimbing berpengalaman, Dr. Benderi bin Dasril. Manakala tanggungjawab selaku Pengarah Program digalas dengan jayanya oleh saudara Adib Firdaus bin Haji Mahdi, mahasiswa ISMP Sains Sukan Tahun 3. Komposisi utama ekspedisi ini dibentuk oleh 25 orang mahasiswa FSSKJ daripada ‘Batch Orca’ yang terkenal dengan semangat setiakawan yang tinggi, serta diperkukuh dengan penyertaan 5 orang pelajar daripada fakulti lain.

Menurut pihak penganjur, program sukan air ini pada asalnya hanya dirancang khusus untuk memenuhi silabus praktikal bagi pelajar kelas kayak di bawah bimbingan Dr. Benderi sahaja. Walau bagaimanapun, atas dasar keprihatinan yang tinggi serta bermatlamat untuk memberikan peluang pendedahan yang lebih luas kepada mahasiswa luar, beliau telah membuat keputusan proaktif untuk menambah bilangan kuota peserta, sekali gus membuka ruang kepada impak pembelajaran yang lebih inklusif.
Tirai program mula disingkap pada hari Jumaat sejurus selepas selesai solat Jumaat, di mana kesemua peserta berkumpul di Stor Kayak Kampus Lama UPSI bagi memulakan proses memuatkan peralatan dan kayak ke dalam lori dengan penuh disiplin. Tepat jam 3.00 petang, bas yang membawa para peserta mula bertolak menuju ke Kem Rekreasi Intan Suraya yang terletak di Sungai Siput, Perak. Setibanya di kem tersebut, para peserta terus diberikan taklimat persediaan kayak sebelum menduduki ujian teori bagi penilaian Anugerah Bintang Satu Kanu Kebangsaan pada sebelah malamnya.

Keesokan harinya, iaitu pada pagi Sabtu, suasana kem dihangatkan lagi dengan pelaksanaan ujian praktikal air yang menguji kemahiran teknikal serta kecekapan setiap pendayung. Setelah selesai menjalani kedua-dua fasa ujian teori dan praktikal tersebut, bermulalah cabaran ekspedisi yang sebenar. Tepat pada waktunya, barisan kayak yang diketuai sendiri oleh Dr. Benderi mula membelah arus menyusuri Sungai Perak.

Ekspedisi sejauh 40 kilometer ini bermula dari jeti Kem Rekreasi Intan Suraya, sebelum kumpulan pendayung berhenti rehat seketika untuk memulihkan tenaga di bawah mercu tanda ikonik yang bersejarah, Victoria Bridge. Kayuhan kemudiannya diteruskan dengan momentum yang konsisten sehinggalah mereka semua selamat mendarat di Dataran Kuala Kangsar.

Setibanya di Dataran Kuala Kangsar, para peserta diberikan tempoh masa selama satu jam untuk menguruskan diri, membersihkan pakaian, dan menikmati hidangan makan malam. Tepat jam 6.30 petang, bas mula bergerak meninggalkan bandar diraja tersebut dan perjalanan pulang berjalan dengan lancar.

