MELAKA, 19 Ogos 2026 – Keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa terus diperkasakan menerusi inisiatif Ziarah Prihatin UPSI apabila Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) bersama Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat & Sedekah (WEZAS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menziarahi seorang pelajar Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Nur Asyura binti Abd Halim, yang ditimpa musibah kebakaran rumah.
Nur Asyura, yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, berdepan ujian berat apabila sebahagian kediaman keluarganya di Tanjong Keling, Melaka terbakar dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang pada 17 Ogos 2026.
Dalam kunjungan berdisiplin kebajikan tersebut, pihak BHEP dan WEZAS menyalurkan sumbangan wang tunai kecemasan kepada Nur Asyura sebagai sokongan moral dan kewangan bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga.



Ketua Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPSI, Maskana Ahmad berkata, pihak universiti sentiasa bersiap sedia untuk hadir memberi bantuan dengan pantas apabila terdapat mahasiswa yang diuji musibah.
“Kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa adalah keutamaan tertinggi kami di BHEP. Apabila menerima khabar musibah yang menimpa Nur Asyura, pihak BHEP bersama WEZAS mengambil langkah segera untuk turun padang menyantuni beliau dan keluarga.
“Sumbangan yang dihulurkan ini bukan sekadar bantuan kewangan untuk menampung keperluan mendesak, malah menjadi simbol solidariti warga UPSI yang sentiasa bersama mahasiswa dalam apa jua keadaan sukar. Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi kekuatan dan meringankan beban keluarga dalam proses pemulihan kediaman mereka,” ujar beliau.
Inisiatif Ziarah Prihatin UPSI ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memastikan setiap mahasiswa mendapat perhatian dan sokongan holistik, terutamanya ketika berdepan dengan situasi tidak dijangka yang boleh menjejaskan tumpuan serta pengajian mereka.

