TANJONG MALIM, 12 Ogos 2026 – Sebanyak 800 pek makanan percuma disediakan kepada para pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi program Dapur Kasih Bitara Siri 12/26 yang berlangsung di Masjid Al-Mursyidin, UPSI, Rabu lalu.

Program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dengan kerjasama Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), sukarelawan kolej-kolej kediaman serta Skuad Mahasiswa Prihatin itu merupakan antara inisiatif kebajikan dan keprihatinan universiti dalam membantu memenuhi keperluan makanan dalam kalangan mahasiswa.

Gerak kerja program bermula seawal 7.30 pagi, melibatkan persediaan peralatan memasak dan bahan-bahan masakan sebelum diteruskan dengan aktiviti penyediaan makanan. Seramai 30 orang tenaga kerja terdiri daripada warga universiti dan sukarelawan bersama-sama berganding bahu bagi memastikan penyediaan 800 pek makanan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Turut hadir memberikan sokongan terhadap pelaksanaan program ialah Ketua Timbalan Pendaftar BHEP, Puan Hajah Maskana binti Ahmad, serta Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) FSM, Dr. Mohd Ikhwan Hadi bin Yaacob.

Program Dapur Kasih Bitara bukan sahaja memberi manfaat secara langsung kepada para pelajar melalui penyediaan makanan percuma, malah turut menyemai nilai kesukarelawanan, kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan warga UPSI.

Kerjasama strategik antara BHEP, fakulti, MPP dan para sukarelawan ini mencerminkan komitmen UPSI dalam memperkukuh ekosistem kebajikan mahasiswa, selaras dengan usaha memastikan kesejahteraan pelajar terus diberi perhatian.